
KUALA LUMPUR: Ideologi dan budaya songsang LGBTQ tidak akan pernah diterima untuk bertapak di bumi Malaysia yang berpegang teguh kepada nilai-nilai agama, adat ketimuran dan Perlembagaan negara.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, pihaknya memandang serius mana-mana pihak yang secara terbuka cuba menormalisasikan budaya ini melalui penganjuran program ‘Pride Month’ di negara ini.
“Tindakan Pemuda Sosialis yang berani menganjur dan mempromosikan acara sedemikian secara terbuka merupakan satu bentuk provokasi terhadap sensitiviti agama dan budaya masyarakat Malaysia yang majoritinya menolak LGBTQ.
“Lebih membimbangkan, program ini jelas bertentangan dengan undang-undang sedia ada yang telah menetapkan garis sempadan terhadap sebarang bentuk penyebaran budaya songsang ini.
“Percubaan untuk mencabar undang-undang tersebut atas nama hak asasi manusia merupakan satu helah halus untuk membuka jalan ke arah penerimaan ideologi yang bercanggah dengan nilai-nilai Islam dan norma masyarakat,” katanya.
Dewan Ulamak PAS Pusat turut mengingatkan kerajaan selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini agar tetap teguh mempertahankan pendirian tegas menolak segala bentuk tekanan antarabangsa untuk menerima budaya LGBTQ.
“Kami memandang berat cadangan dalam dokumen ‘Advisory Paper’ yang menekan Malaysia agar memansuhkan undang-undang berkaitan anti-LGBT dan diskriminasi.
“Satu tindakan yang jelas bertujuan membuka laluan kepada penerimaan ideologi tersebut secara sistematik di peringkat nasional dan serantau,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang secara terang-terangan mencabar undang-undang dan nilai asas negara ini.
“Kerajaan juga tidak boleh bersikap longgar atau apologetik dalam hal ini. Ketegasan adalah kunci untuk memastikan ideologi songsang ini tidak diberi ruang untuk berkembang.
“Dewan Ulamak PAS Pusat tetap konsisten menyatakan bahawa normalisasi LGBTQ bukan sahaja bertentangan dengan Islam dan Perlembagaan, bahkan menggugat kestabilan sosial, moral dan struktur masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/6/2025











