
KEMAMAN: Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) telah melabuhkan tirai di Kemaman dengan rekod kehadiran lebih 30,000 peserta sepanjang program berlangsung.
Pengarah TMT, Dato’ Hanafiah Mat dalam ucapan penutupnya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus memastikan kelancaran himpunan yang berlangsung selama tiga hari itu.
Beliau turut berterima kasih kepada para petugas, para dermawan serta seluruh rakyat yang memberikan sokongan dan sumbangan kepada PAS.
“Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh urusetia, semua petugas-petugas termasuk ahli jawatankuasa induk yang telah berusaha lebih daripada 2 bulan bagi memastikan karnival himpunan ini berjaya diadakan.
“Terima kasih juga kepada semua para tetamu yang hadir yang bukan sahaja memberi semangat malah menyumbang kewangan bagi menyatakan kesetiaan, kesediaan dan komitmen mereka kepada parti PAS.
“Ini menandakan bahawa sepanjang penggal yang lepas apabila diberi amanah oleh Allah SWT untuk memerintah negeri Terengganu PAS boleh berjaya menyelesaikan 20 perkara dalam manifesto.
“Janji-janji PAS ditunaikan dengan sebaik-baiknya bukan seperti janji Pakatan Harapan dan Umno-Barisan Nasional janji hanya tinggal janji satu pun tidak dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmi majlis tersebut di Padang Astaka Kemaman, di sini semalam.
Turut hadir memeriahkan acara penutup ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Senator Alias Hamid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili; ADUN Air Putih, Mohd Hafiz Adam; Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir serta barisan kepimpinan PAS Kawasan Kemaman.
Menurut Hanafiah, Kerajaan PAS Terengganu sentiasa menunaikan projek pembangunan, termasuk menyelesaikan projek-projek yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.
“Kalau orang kata tidak ada pembangunan itu penipuan namanya, pembangunan yang paling besar yang telah kita nyatakan dalam kerajaan kita, kita meneruskan semua projek projek yang ditinggalkan oleh Barisan Nasional semua siap semua.
“Kalau dahulu projek yang ditinggalkan oleh menteri besar tidak dilaksanakan, bertukar sahaja menteri besar Umno tertangguh semuanya tetapi bila kerajaan kita mengambil alih kita sambung semua projek tersebut
“Peluang pekerjaan pun begitu memberangsangkan terutama di daerah Kemaman, inilah dia peluang yang terbaik yang telah tuan puan berikan kepada kami.
“Insya-Allah kami akan memasuki pilihan raya ke 16 belas ini dengan sebaik mungkin bagi memastikan bukan sahaja Terengganu, malah jiran terdekat kita ini Pahang sekali lagi rakyat memberi mandat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/6/2025











