
KEMAMAN: Afnan Hamimi Taib Azamudden, mengingatkan anggota pemuda parti itu agar tidak sekadar menjadi penonton dalam perjuangan Islam, sebaliknya turun ke medan dan memainkan peranan sebagai pejuang yang sebenar.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu berkata, sekarang bukan masanya untuk berasa selesa atau berdiam diri ketika umat Islam sedang berdepan dengan pelbagai cabaran dan serangan.
“Kita tidak boleh hanya menjadi penonton kerakusan musuh yang meratah batang tubuh umat Islam. Kita mesti turun ke medan, beraksi berlawan bertempur dengan musuh,” katanya ketika merasmikan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2025, di sini semalam.
Afnan turut mengimbau pengorbanan tokoh-tokoh PAS terdahulu yang sentiasa istiqamah dalam perjuangan walaupun keadaan kesihatan semakin merosot antaranya Almarhum Tuan Guru Dato’ Harun Taib hadir ke Muktamar Pemuda PAS di Kota Bharu dalam keadaan berkerusi roda.
“Beliau hadir walaupun tidak lagi bertenaga, kerana bagi beliau, perjuangan mesti diteruskan. Begitu juga Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tetap hadir memimpin mesyuarat Majlis Syura Ulama walaupun menghidap kanser prostat.
“Almarhum Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din pula hadir mesyuarat Majlis Syura Ulama dengan membawa gas oksigen. Beliau kata perjuangan lebih utama daripada kesihatan dirinya,” katanya.
Menurut Afnan, perjuangan PAS bukan berlandaskan kepentingan peribadi atau jawatan, tetapi untuk melaksanakan perintah Allah dan amanah Rasulullah SAW.
“Kita berjuang bukan untuk mengaut keuntungan atau memburu kekayaan. Kita berjuang untuk berkhidmat dan memastikan amanah ini terlaksana,” katanya.
Beliau turut mengingatkan ahli PAS agar tidak melangkaui kepimpinan dan sentiasa menjaga adab berjamaah.
“Kita ibarat sebuah kapal yang sedang berlayar. Nakhoda berada di tempat paling atas dan nampak jauh ke hadapan. Jangan ada yang cuba menebuk kapal atau mengatasi ketua, kerana ia hanya akan menenggelamkan diri sendiri,” katanya.
Sementara itu, Afnan menyeru seluruh anggota Pemuda PAS supaya bersiap sedia menghadapi segala cabaran yang mendatang.
“Zulhijjah adalah bulan pengorbanan. Susah senang adalah lumrah perjuangan. Terengganu wajib dipertahan kita pemuda sanggup berkorban, siap siaga tiupkan semboyan, medan perang ada di hadapan.
“Musuh sekeliling sedang berkeliaran sebesar gunung pun kita akan lawan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/6/2025











