
KEMAMAN: PAS Negeri Terengganu akan terus memperkukuh sokongan rakyat untuk memastikan kejayaan parti di negeri ini akan menjadi contoh kepada negeri lain, khususnya negeri jiran iaitu Pahang.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Dr Alias Abdul Razak berkata, kejayaan PAS di Kelantan dan Terengganu menjadi bukti bahawa strategi mantap serta pengorbanan generasi terdahulu sangat penting.
“Dulu Kelantan berjaya mendahului perintah beberapa penggal, kemudian Terengganu pula mengikut jejaknya. Kita harap lepas ini insya-Allah balik ke negeri Pahang pula
“Kalau Pahang dapat dimenangi, kita (PAS) dapat tawan separuh Malaysia dan Putrajaya juga akan menjadi milik kita. Ini strategi yang kita atur,” katanya berucap pada Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2025 di Kemaman, di sini semalam.
Beliau berkata, PAS Terengganu telah menyediakan pelan induk dinamakan “Teguh Memimpin Terengganu” bagi memastikan sokongan berterusan terhadap parti, khususnya dalam kalangan pengundi muda.
“Golongan pengundi bawah 40 tahun semakin besar sejak umur kelayakan mengundi diturunkan kepada 18 tahun. Oleh itu, pemuda dan amirah perlu berperanan lebih aktif untuk mendekati anak muda,” katanya.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Harun Esa dalam pada itu menyeru seluruh ahli pemuda untuk terus istiqamah dan taat kepada arahan pimpinan bagi memastikan perjuangan Islam terus subur di negeri ini.
Beliau berkata, kepimpinan akan terus silih berganti, namun tanggungjawab mempertahankan agama Islam tetap menjadi amanah yang perlu dilaksanakan.
“Satu pesanan untuk anak muda sekalian kepimpinan akan bertukar kemudian, kita mesti meneruskan pengorbanan dan usaha kita. Insya-Allah jangan putus asa taat kepada pimpinan yang bakal naik.
“Kerana kalau Dewan Ulamak dan Muslimat ia kekal sehingga ke hujung usia insya-Allah, Dewan Pemuda terbatas, Ketua Pemuda Kawasan, Ketua Ketua Pemuda DUN, Ketua Pemuda semua di peringkat ada batas batasnya.
“Insya-Allah siapa sahaja yang dapat meneruskan ataupun dinobatkan ataupun dilantik sebagai Ketua Pemuda maka terus kita istiqamah bersama dengan kepimpinan yang ada. Misi dan tugasan kita cukup besar untuk teguh memimpin negeri Terengganu,” katanya.
Mohd Harun turut mengingatkan cabaran dan ujian akan terus hadir dalam perjuangan, namun kesatuan dan semangat Pemuda PAS menjadi tonggak kekuatan untuk berdepan segala cabaran.
“Tanggungjawab kita bersama memastikan mengembeling tenaga semampu mungkin untuk mempertahankan, mengekalkan teguh memimpin Negeri Terengganu dan membantu Negeri Pahang melalui ejen pemuda PAS,” katanya.


Pemuda aset PAS ke Putrajaya
Bendahari PAS Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah menyeru anak muda Islam agar memperkukuhkan akhlak, menuntut ilmu dan membersihkan jiwa dengan keimanan bagi menegakkan syiar Islam dalam pentadbiran negara.
Beliau berkata, Islam yang diperjuangkan oleh PAS ialah Islam yang menyeluruh, lengkap dan sempurna di mana golongan muda juga perlu memahami kepentingan politik demi memelihara kedaulatan tanah air daripada pengaruh musuh Islam.
“Jika kita bertindak melihat kepentingan politik ini, tanah air ini akan dikuasai oleh orang Yahudi, Kristian, musuh Islam cuba nak meracuni pemikiran anak muda, ulama dan semua umat Islam agar melihat bahawa politik ini tidak penting.
“(Agar melihat) kewarganegaraan ini tidak penting, isu ekonomi tidak penting, yang penting hiburan, bermain dan hidup boleh makan. Maka bagilah DAP memerintah” peringatnya terhadap ancaman tersebut.
Beliau turut mengajak Pemuda PAS Terengganu untuk tidak hanya mempertahankan kemenangan di negeri ini, malah berusaha untuk menawan Putrajaya bagi memastikan kepimpinan Islam terus subur di negara ini.
“Kita mesti kempen melalui seluruh media bahawa kita mampu memimpin Negeri Terengganu dengan bersih, bebas daripada gejala yang rosak. Kita boleh mengurus dan mentadbir negeri ini dengan baik,” katanya.
Beliau juga menyeru supaya rakyat negeri ini terus menyokong Perikatan Nasional (PN) dan PAS demi kesejahteraan negara serta mengelakkan pemerintahan oleh pihak yang beliau tidak jujur dan merosakkan.
“Insya-Allah, kita akan tegakkan negeri ini dengan Islam dan selamatkan Malaysia daripada pemerintahan orang yang bohong dan perosak,” katanya yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu.
Turut hadir Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Hussein Awang serta Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Dr Alias Abdul Razak.
Juga Bendahari PAS Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah dan Pengarah Himpunan Pemuda Pemuda Islam Negeri Terengganu (HIMPIT), Ustaz Riduan Abdul Karim.
Selain Pengerusi BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang, Ustaz Zulfadli Zakariah serta Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Senator Alias Hamid. – HARAKAHDAILY 1/6/2025











