Cleopatra serah borang keahlian mohon sertai PAS

Cleopatra (kanan) di samping Nuridah di sebelahnya ketika menyerahkan borang permohonan keahlian PAS di Pejabat Agung PAS, hari ini
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Cleopatra telah membuat permohonan keahlian menyertai PAS apabila menyerahkan borang di Pejabat Dewan Muslimat PAS Pusat di Pejabat Agung PAS, di sini hari ini.

Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh sendiri menyaksikan detik mengisi borang tersebut sebelum diserahkan kepadanya dengan turut bersama Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Nurihan Anuar.

Cleopatra yang merupakan seorang ibu tunggal ketika ditanya keputusannya memilih untuk menyertai PAS memaklumkan bahawa ia adalah demi masa depan anak-anaknya, selain kemahuan untuk mengikuti tarbiyah parti Islam ini.

Terkenal sebagai aktivis aktif dalam kerja-kerja amal dan Pengasas Hetero Action Women Alliance (HAWA) yang memperjuangkan hak wanita dan masyarakat, beliau sebelum ini pernah menyuarakan hasrat mengenali PAS dengan lebih dekat.

Malah, beliau yang turut terkenal sebagai seorang pemengaruh media sosial diikuti ramai kerana sering mengangkat suara penting dalam memperjuangkan isu-isu sosial dan pembangunan komuniti khususnya berkenaan wanita.

Menurut Ustazah Nuridah, pihaknya sangat mengalu-alukan penyertaan Cleopatra dan seluruh wanita Malaysia sebagai ahli keluarga besar PAS dan melihat penyertaan itu sebagai langkah strategik dalam memperkukuhkan peranan politik wanita di Malaysia.

“Dewan Muslimat PAS telah sekian lama konsisten mengambil cakna terhadap kebajikan golongan yang memerlukan seperti orang miskin, orang kelainan upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal, dan anak yatim,” ujarnya.

Cleopatra juga sebelum ini pernah menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai calon bebas P.115 Parlimen Batu, namun hanya memperoleh 0.72 peratus undi dalam pertandingan 10 penjuru itu.

Hadir sama semasa penyerahan borang tersebut adalah Bendahari Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Khairi Syutina Mahmood. – HARAKAHDAILY 31/5/2025

- Advertisement -
- Advertisement -