Cabaran jalan dakwah era autoritarianisme

- Advertisement -

DALAM sejarah dakwah, tidak sedikit pembawa risalah kebenaran yang diuji oleh kekerasan pemerintah. Mereka bukan pendusta, bukan perosak, bukan perampas kuasa, tetapi hanya penyampai amanat Tuhan yang maha benar. Namun kezaliman itu datang seperti malam yang gelap menutup cahaya,menyembunyikan bintang, dan memadamkan harapan. Lalu kita bertanya, mengapa Allah biarkan ini berlaku?

- Advertisement -

Sesungguhnya, di sebalik ujian itulah tersembunyi rahmat yang besar, ganjaran yang berlipat ganda, dan pemurnian terhadap niat serta perjuangan.

Ujian istiqamah ulama silam

Imam Ahmad bin Hanbal seorang tokoh agung dalam sejarah Islam dipenjarakan dan disebat oleh pemerintah kerana mempertahankan akidah bahawa al-Quran adalah kalam Allah, bukan makhluk. Beliau tidak mengangkat senjata. Tidak menghasut rakyat. Namun kerana enggan tunduk kepada pendapat sesat yang disokong kuasa, beliau dihumban ke dalam penjara. Beliau dicambuk, didera, tetapi tidak patah semangatnya. Malah berkata:

ما عرفتُ طعمَ التوكلِ على اللهِ حقًّا، حتى انقطعتْ بي الأسباب، وأُدخلتُ السجن، فلم أجدْ أحدًا ألوذُ به إلا الله
“Aku tidak pernah merasai kemanisan tawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya, sehinggalah semua sebab terputus daripadaku, dan aku dimasukkan ke dalam penjara, maka tiadalah sesiapa yang aku dapat berlindung kepadanya selain Allah.”
— Ibn al-Jawzi, Manāqib al-Imām Aḥmad, hlm. 221

Begitu juga kisah Imam Abu Hanifah yang dipenjara kerana enggan menjadi Qadhi yang dipaksa menuruti kehendak politik. Imam Malik pula dicambuk sehingga tangan beliau terkehel kerana menyampaikan satu fatwa yang tidak selari dengan kehendak penguasa. Imam Ibn Taymiyyah, dihumban ke dalam penjara berkali-kali kerana menyanggah kezaliman dan kerosakan akidah yang dijaja oleh sesetengah elit kuasa.

Mereka diuji dengan tekanan pemerintah, dipenjara, dicambuk, dipaksa tunduk kepada kuasa namun tetap teguh mempertahankan prinsip dan kebenaran. Mereka tidak berganjak walau sezarah, kerana keyakinan kepada Allah lebih kukuh daripada takut pada manusia. Hari ini, nama-nama mereka terus dikenang dan dijulang sebagai wira dakwah serta benteng akidah umat. Kitab mereka dibaca, ilmu mereka disebarkan , pandangan mereka dirujuk, dan kisah mereka diteladani dari generasi ke generasi ,seakan mereka masih hidup membimbing dengan cahaya istiqamah.

Namun, ke mana perginya para ulama sezaman yang memilih diam saat kebatilan berleluasa? Mereka tunduk demi menjaga kedudukan, memilih ‘playsafe’ dan mengutamakan untung rugi dunia. Akhirnya, Allah cabut keberkatan dari ilmu mereka; nama mereka lenyap dari ingatan umat, tidak dikenang, tidak dirindui, bahkan tidak dikenali. Begitulah khatimah ilmu yang dibungkam oleh ketakutan dan ditenggelamkan oleh kepentingan duniawi.

Sunnatullah dalam pemurnian dakwah

Inilah sunnatullah, keberkatan tidak lahir daripada gelaran atau kedudukan, tetapi daripada keikhlasan dan keteguhan menanggung amanah kebenaran. Para ulama yang istiqamahlah yang kekal harum sepanjang zaman bukan kerana mereka menang di dunia semata-mata, tetapi kerana mereka tidak pernah kalah dan mengalah kepada kebatilan. Benarlah sabda Rasulullah ﷺ:

مَنِ التَمَسَ رِضَا اللَّهِ بِسَخَطِ النَّاسِ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ وَأَرْضَى النَّاسَ عَنْهُ، وَمَنِ التَمَسَ رِضَا النَّاسِ بِسَخَطِ اللَّهِ، سَخِطَ اللَّهُ عَلَيْهِ وَأَسْخَطَ النَّاسَ عَلَيْهِ
“Barang siapa mencari keredhaan Allah dalam keadaan manusia marah kepadanya, maka Allah akan reda kepadanya dan menjadikan manusia juga (akhirnya) reda kepadanya. Dan sesiapa yang mencari keredhaan manusia dengan kemurkaan Allah, maka Allah murka kepadanya dan menjadikan manusia juga pada (akhirnya) murka kepadanya.”
— Riwayat Ibn Hibban, no. 276; al-Tirmizi, no. 2414 | Hadis Sahih

Namun kenapa Allah menguji mereka…? Kerana kebenaran itu perlu dibersihkan daripada kemunafikan. Dakwah itu perlu diangkat oleh darah dan air mata, bukan oleh kemewahan, pujian dan populariti . Allah menguji agar amal itu benar-benar lillahi ta‘ala, bukan kerana pangkat atau ganjaran dunia.

Allah berfirman dalam Surah Muhammad ayat 7:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan pendirianmu.”

Ibn Kathir menjelaskan bahawa janji pertolongan Allah hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar menolong agamanya iaitu Islam yang tulen, berpaksikan wahyu. Bukan sekadar membawa nama Islam, tetapi mesti menjauhi kehendak nafsu atau tafsiran yang menyeleweng.

Begitu juga dalam Surah At-Taghabun ayat 11:

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ ۗ وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ ۚ
“Tidak ada satu musibah pun yang menimpa melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, nescaya Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya.”

Imam Qatadah menyebut, ini adalah tentang orang yang yakin bahawa segala ketentuan adalah daripada Allah, dan dia sabar serta redha.

Autoritarianisme menggenggam dakwah

Namun anehnya, Islam yang kita bawa itu terang, jelas, dan bersinar. Kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ itu umpama cahaya yang tiada kabur, umpama matahari di tengah hari. Namun ada yang melihat kebaikan itu sebagai keburukan. Dalil dan hujjah dianggap ancaman. Seruan kepada ketulinan agama dilihat berbahaya. Mengapa?

Rasulullah ﷺ bersabda:

يَأْتِي عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ، الصَّابِرُ فِيهِمْ عَلَى دِينِهِ كَالْقَابِضِ عَلَى الْجَمْرِ

“Akan datang suatu zaman kepada manusia, di mana orang yang bersabar dalam memegang agamanya seperti menggenggam bara api.” (Sahih HR Ahmad no. 21307)

Dalam suasana ini, authoritarianisme menjadi bayang yang mengekang cahaya dakwah. Ia tidak bersandar rasional agama yang bersumber wahyu, tindakannya pula bukan bersandarkan hujah, tetapi digerakkan oleh sentimen dan keangkuhan penguasa.

Sayyid Qutb menyebutnya ‘istibdad’ (الاستبداد )iaitu kekuasaan yang membungkam kebenaran dan menekan jiwa. Dalam iklim ini, yang berkata benar dilabel sesat, sedang yang tunduk walau menyembunyikan hakikat dan kebenaran disanjung. Peringatan ini sering diulang beliau, sebagai renungan bagi pendakwah dan peringatan buat penguasa.

Tetapi autoriti bukanlah salah pada dirinya. Dalam Islam, kekuasaan adalah amanah bukan alat penindasan. Bahkan, jika ada pendakwah yang menyimpang, maka wajib diperbetulkan. Tetapi sempadannya ialah al-Qur’an dan as-Sunnah. Sekiranya dakwah yang disampaikan itu selari dengan wahyu, tetapi ditentang hanya kerana tidak menuruti kehendak penguasa maka jelaslah siapa sebenarnya yang perlu kembali kepada kebenaran.

Sikap kita haruslah adil. Jika pendakwah itu menyimpang, tegurlah dengan ilmu. Tetapi jika yang salah itu pemerintah, maka tegurlah dengan hikmah dan berani. Kembalilah kepada firman Allah:

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ
“Jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya.” (Surah an-Nisa’, ayat 59)

Inilah jalan dakwah jalan berduri, jalan air mata, jalan penjara, tetapi juga jalan menuju redha Allah. Ujian bukanlah tanda murka, tetapi jemputan ke darjat yang lebih tinggi. Maka kepada semua pendakwah yang diuji, sabarlah. Jika kamu benar, Allah akan membela. Jika kamu tersilap, perbaikilah.

Buat pemerintah yang memegang amanah kuasa, ingatlah: Autoriti tanpa panduan wahyu zalim dan menyesatkan. Kuasa tanpa taqwa racun yang membinasakan. Pemerintah yang menanggalkan keadilan runtuhlah kuasa dari tangannya sendiri. Takutlah doa orang dianiaya. Kembalilah kepada cahaya, sebelum kegelapan menelan segalanya.

DATUK DR MARZUK SHAARY
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa
04 Zulhijjah 1446 | 31 Mei 2025 – HARAKAHDAILY 31/5/2025

- Advertisement -