
KANGAR: Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Negeri, Asrul Aimran Abd Jalil menyifatkan para wartawan dan pengamal media sebagai ‘frontliner’ dalam dunia maklumat yang memainkan peranan besar dalam membina persepsi positif terhadap Perlis.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis santai sempena Hari Wartawan bersama pengamal media, di sini semalam.
“Wartawan adalah ‘frontliner’, kemasukan ‘event-event’ ke Perlis mainkan peranan besar kepada ekonomi tempatan, menunjukkan banyak sambutan ke negeri Perlis,” katanya.
Menurut Asrul, laporan media yang tepat dan beretika penting bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat sahih dan tidak mengelirukan.
“Kita harap para wartawan dapat menjiwai Perlis, dapat laporkan berita betul dan tepat dan tidak menyebabkan orang dapat maklumat salah,” ujarnya lagi.
Asrul turut menyeru agar hubungan erat antara media dan kerajaan negeri terus diperkukuh demi kemajuan bersama.
“Pastikan hubungan sesama kita erat, akan ada lagi pertemuan-pertemuan lain bagi menyokong kerajaan negeri,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kayang itu.
Beliau juga menekankan bahawa pentadbiran kerajaan negeri yang bermula pada 2022 sangat menghargai kerjasama dan peranan media yang semakin baik dari semasa ke semasa.
“Kerajaan kita baru bermula pada 2022, kita merakamkan penghargaan yang tinggi kepada semua media dan berharap semakin baik,” tambah beliau.
Menyentuh mengenai program Tahun Melawat Perlis, Asrul berkata kempen tersebut berjaya menarik pelancong ke negeri ini dengan bantuan promosi media.
“Tapi hari ini Alhamdulillah, Tahun Melawat Perlis dapat sasar jumlah pelancongan dan tempoh juga dipanjangkan sehingga tahun depan,” katanya.
Asrul menutup ucapannya dengan menzahirkan penghargaan kepada semua pengamal media yang banyak membantu menjernihkan kekeliruan dalam isu-isu semasa, termasuk isu palang yang kini semakin diterima masyarakat.
“Kita sangat hargai setiap berita dan laporan yang dikeluarkan. Main peranan yang baik supaya perkara keruh dapat dijernihkan,” ujarnya lagi.
Pihaknya turut menyampaikan cenderahati kenangan kepada seorang jurukamera dari agensi Radio Televisyen Malaysia (RTM), Badruddin Ramli yang ditukarkan ke Kedah bermula Jun ini.
Beliau sebelum ini telah berkhidmat di Perlis selama hampir 17 tahun. – HARAKAHDAILY 30/5/2025











