
KUALA LUMPUR: Konsep imuniti yang diberikan kepada individu tertentu dalam sistem perundangan tidak seharusnya disalahgunakan untuk melepaskan diri daripada tindakan undang-undang atau menutup kesalahan dilakukan.
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, imuniti secara asasnya bermaksud ‘kebal’ daripada tindakan undang-undang dalam situasi tertentu bagi memastikan kelancaran tugas serta tanggungjawab seseorang.
“Contoh pengamalan dalam negara kita ni ahli parlimen. Seorang ahli parlimen masa dia tengah berucap dalam Dewan Rakyat, dia ada imuniti. Maksudnya apa pun yang dia cakap dalam dewan tu, orang tak boleh saman dia di mahkamah.
“Kecuali kalau benda melibatkan 3R (agama, bangsa, institusi raja) dan Akta Hasutanlah, yang tu tak ada imuniti. Namun, sekalipun Ahli Parlimen mempunyai imuniti dan dilindungi ketika berbahas dalam Dewan Rakyat, mereka perlu bertanggungjawab atas sebarang kenyataan yang dikeluarkan,” katanya.
Jelasnya, seseorang itu mahu mendapatkan imuniti kerana beberapa faktor seperti selamat dari segi undang-undang, adanya kuasa tanpa sebarang gangguan dan melindungi diri dalam dunia politik yang penuh dengan muslihat.
“Kalau dia buat salah pun, orang tak boleh ambil tindakan. Senanglah kerja dia tak risau kena tangkap. Boleh buat keputusan atau cakap apa dia nak.
“Tanpa takut kena saman atau dipenjara. Dalam dunia politik ni, kadang-kadang lawan suka cari salah si Imuniti ni jadi macam perisailah,” ujarnya.
Namun menurut beliau, adalah menjadi kesalahan sekiranya seseorang itu menggunakan imuniti bagi membuat perkara yang menyalahi undang-undang dan mahu melepaskan diri dari sebarang dakwaan di mahkamah.
“Contoh bila seseorang ketua kerajaan yang disaman, lalu merasakan tak mampu nak berhujah dan bimbang akan dijatuhkan hukuman, maka dia pergi memohon imuniti kerana bimbang mengganggu tugasan dan kestabilan negara.
“Ini salah dan menghina sistem keadilan! Itu contoh jelah. Tak ada kaitan dengan yang hidup atau mati. Kalau ada persamaan, mungkin kebetulan saja,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/5/2025











