Tiada siapa kebal daripada undang-undang

Ustaz Mohd Hafez Sabri
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia memandang serius perkembangan terkini berkaitan kes saman sivil yang difailkan oleh Muhammed Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) berhubung dakwaan serangan seksual.

- Advertisement -

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri berkata, pihaknya berpegang teguh kepada prinsip bahawa tiada sesiapa pun termasuk Perdana Menteri boleh dikecualikan daripada proses keadilan di negara ini.

“Cubaan PMX untuk mendapatkan kekebalan mahkamah dalam kes ini bukan sahaja mencemarkan prinsip ‘Rule of Law’, malah menjejaskan kredibiliti dan integriti kepimpinan negara yang sepatutnya menjadi teladan kepada rakyat.

“Kami menegaskan bahawa permohonan kekebalan oleh Perdana Menteri adalah langkah yang bercanggah dengan semangat reformasi yang sering dilaung-laungkan beliau sendiri.

“Perkara ini memberi gambaran bahawa ada usaha untuk melindungi diri daripada disoal siasat di mahkamah, justeru menimbulkan persepsi bahawa sistem keadilan negara hanya tegas kepada rakyat biasa tetapi longgar terhadap tokoh politik,” katanya.

Beliau dalam pada itu menyentuh tindakan PMX yang dilihat mengemukakan saman kepada ahli politik lain seperti Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

“Mereka tampil dengan berani, menghadapinya secara terbuka dan bertanggungjawab seperti anak jantan. Tetapi apabila beliau pula yang disaman oleh rakyat biasa, tiba-tiba timbul permohonan kekebalan, seolah-olah tidak sanggup berdepan dengan proses keadilan yang sama?” ujarnya.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Malaysia mengemukakan beberapa cadangan kepada PMX, antaranya menarik semula permohonan imuniti berkenaan demi menjaga maruah institusi Perdana Menteri dan proses mahkamah dapat berjalan dengan bebas dan telus.

“Berikan kerjasama penuh kepada sistem kehakiman dan mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh dianggap sebagai tekanan politik terhadap proses perundangan.

“Tubuhkan Suruhanjaya Etika Kepimpinan Negara untuk menyiasat dakwaan salah laku etika terhadap mana-mana tokoh kepimpinan negara, termasuk terhadap Perdana Menteri sendiri, demi menjamin ketelusan dan akauntabiliti moral.

“Hadapi proses mahkamah seperti anak jantan. Sekiranya benar tidak bersalah, buktikan ia di mahkamah. Jika bersalah, pohonlah maaf secara terbuka demi keadilan kepada mangsa.

“Pemuda PAS Malaysia mengingatkan bahawa keadilan bukan hanya untuk rakyat biasa, tetapi lebih-lebih lagi harus ditegakkan terhadap mereka yang memegang kuasa.

“Jika Malaysia ingin benar-benar bergerak ke arah reformasi dan negara Madani seperti yang sering didakwa, maka Perdana Menteri harus menjadi insan pertama yang bersedia dipertanggungjawabkan sepenuhnya di sisi undang-undang,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/5/2025

- Advertisement -