
SETIAP Muslim pasti mengimpikan suatu hari nanti dia akan menjadi tetamu Allah SWT dan dikurniakan rezeki menunaikan haji ketika diusia muda. Hal itu sebenarnya anugerah Allah SWT yang tidak terhingga nikmatnya dan tanpa terduga meskipun kemampuan kewangannya tidak seberapa.
Dalam beberapa keadaan, ada yang sangat beria-ria serta bersungguh-sungguh menjejakkan kami ke Makkah Al-Mukaramah menunaikan ibadah haji tetapi tidak tertulis di Luh Mahfuz akan menjadi dhuyufurrahman ketika usia muda dan sihat tubuh badan.
Demikian antara coretan Yang Dipertua PAS Kawasan Jerlun, Ustaz Dr Abd Ghani Ahmad, yang dicatatkan jauh di bumi Makah untuk dikongsi bersama rakan laman sosialnya.
Katanya, memang tidak disangkal, amat bertuah bagi seorang Muslim dapat mengerjakan ibadah haji dalam keadaan, sihat dan kuat serta di usia muda, namun semua itu adalah atas izin-Nya jua, bersama nikmat yang dikurniakan kepada sesiapa dikehendaki-Nya.
Ahli Parlimen Jerlun itu yang diberi kesempatan oleh Allah SWT bersama isterinya, menunaikan fardu haji pada tahun ini, sempat menyampaikan takzirah kepada jemaah haji selepas mengimamkan solat Asar di Hotel Abraj AlJanadiriy, kelmarin.
Katanya, sebagai insan-insan bertuah yang dipilih Allah menjadi tetamu-Nya, pastikan setiap yang hadir mempunyai niat dan tekad serta tujuan keazaman untuk mengagungkan kebesaran Allah dan mencari redha-Nya.
“Kita tinggalkan urusan kehidupan, pekerjaan masing-masing dan kesibukan duniawi. Ketika di kampung halaman, kita tidak ada masa untuk melakukan ibadah-ibadah sunat walau solat sunat wuduk sekalipun, mungkin ada yang tak tahu atau tahu tapi tak pernah lakukan,” katanya.
Oleh itu, beliau menasihatkan agar masa yang ada dimanfaatkan dengan melakukan pelbagai ibadah, sama ada membaca AlQuran, berzikir, mengerjakan solat sunat dan lain-lain.
“Saya syorkan lima amalan harian yang perlu dilakukan antaranya, pertama, baca AlQuran walaupun dengan surah-surah yang mudah, kedua, solat Nafilah iaitu tahajjud, hajat dan taubat, ketiga, berzikir dan keempat, perbanyakkan doa, sementara kelima, selawat ke atas Rasulullah SAW,”pesan beliau.
Dalam pada itu beliau dan ahli-ahli jemaah lain, khususnya yang menetap di hotel berkenaan, bersetuju mengadakan derma kilat untuk membeli PA Sistem, penghawa dingin, permaidani, termasuk kerusi roda kepada jemaah yang tidak mampu berjalan apabila bertawaf dan bersa’ei nanti.
“Kutipan untuk membeli barangan ini untuk membolehkan ruang di hotel tempat kami tinggal ini dijadikan tempat untuk solat berjemaah. Semua barangan yang dibeli itu nanti akan diwakafkan kepada jemaah haji di tahun akan datang,” jelasnya.
Semoga dengan asbab itu kata Dr Ghani akan menjadi amal jariah dan dipilih Allah menjadi penghuni syurga-Nya nanti. – HARAKAHDAILY 30/5/2025











