
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Aireroshairi Roslan mempersoalkan tindakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang memohon imuniti daripada Mahkamah Persekutuan dalam kes saman sivil difailkan oleh Muhammed Yusoff Rawther.
Beliau menyifatkan permohonan berkenaan sebagai bukti kelemahan dan ketakutan Perdana Menteri untuk berhadapan dengan proses keadilan, selain bertentangan dengan prinsip reformasi yang sering dilaungkan.
“Sebagai pemimpin yang sering bercakap tentang reformasi, tindakan ini bertentangan dengan prinsip yang diperjuangkannya. Rakyat berhak mendapat jawapan jelas, bukan melihat pemimpin tertinggi negara lari daripada tanggungjawab,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau turut membangkitkan kedudukan Raja-raja Melayu yang tidak mempunyai imuniti mutlak seperti diperuntukkan di bawah Perkara 181 dan 183 Perlembagaan Persekutuan, justeru tidak wajar bagi Perdana Menteri memohon keistimewaan sedemikian.
“Tindakan ini mencerminkan arogansi kuasa dan merendahkan martabat institusi Perdana Menteri. Anwar seolah-olah meletakkan dirinya di atas undang-undang, padahal prinsip demokrasi menegaskan tiada siapa berada di atas undang-undang,” jelasnya.
Aireroshairi turut menjelaskan bahawa kejadian yang didakwa dalam kes berkenaan berlaku pada 2 September 2018, iaitu sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.
Katanya, pada waktu itu Anwar hanyalah rakyat biasa tanpa sebarang jawatan rasmi dalam kerajaan dan tidak wajar menggunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri ketika ini untuk menuntut imuniti bagi perbuatan masa lampau.
“Ini helah undang-undang untuk mengelak tanggungjawab masa lalu,” tegasnya sambil menyuarakan kebimbangan terhadap apa yang disifatkannya sebagai corak penindasan terhadap Yusoff Rawther selepas pendedahan yang dibuatnya.
“Yusoff lulus ujian poligraf empat jam di Bukit Aman dan didapati bercakap benar, namun kemudiannya dikenakan pertuduhan jenayah dadah dan senjata api.
“Ini menimbulkan persoalan serius penyalahgunaan kuasa dan menyerupai taktik membisu saksi, bertentangan dengan prinsip keadilan kerajaan yang mengaku memperjuangkan reformasi,” jelasnya.
Beliau turut mendesak Perdana Menteri agar menghentikan tindakan yang disifatkan memalukan itu dan tampil berhadapan dengan mahkamah secara terhormat.
“Rakyat tidak perlukan pemimpin yang lari daripada tanggungjawab, tetapi yang berani hadapi kebenaran. Saya menggesa rakyat Malaysia pantau dan desak ketelusan kes ini. Keadilan bukan hanya untuk berkuasa, tetapi semua rakyat tanpa mengira pangkat.
“Anwar perlu buktikan kelayakannya memimpin dengan berhadapan tuduhan secara berani, bukan bersembunyi di sebalik imuniti tidak wajar,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/5/2025











