
KOTA BHARU: Umat Islam sekarang sedang meniti ‘Mulkan Jabriyah’ iaitu sistem pemerintahan kerajaan yang zalim serta mengugat keutuhan sebuah pemerintahan berteraskan Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Dakwah Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Mat Daud berkata, ia sebelum fasa kelima atau terakhir, pentadbiran kenabian.
Beliau berkata, golongan asatizah dan ulama perlu memainkan peranan lebih aktif dalam zaman Jabriyah ini bagi menyelamatkan rakyat dari kekeliruan terhadap ajaran Islam sebenar.
“Kita sekarang ini duduk dalam Mulkan Jabriyah sebelum tibanya zaman yang dikenali sistem kenabian atau ‘Minhajin Nubuwwah’ kemunculan Imam Mahdi dan akan berlakunya peristiwa kiamat.
“Keadaan ini menuntut tok guru dan asatizah lebih berperanan sebagai pendakwah menyantuni masyarakat, bukan terhad masjid, pondok tetapi semua lapangan hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Liqa Mahabbah Ulamak dan Guru Pondok Negeri Kelantan 2025 yang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini kelmarin.
Hadir sama Exco Kerajaan, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Pengerusi Ilmuan Islam Kelantan, Dato’ Hasan Mahmood serta Timbalan Pengerusi Pusat Pembangunan Pondok Berhad, Tuan Guru Awang Yusuf.

Sehubungan itu Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat itu menggesa semua pihak supaya menyokong langkah kerajaan negeri mewartakan semula Enakmen Kanun Jenayah Islam.
Beliau berkata, pembatalan Enakmen tersebut merupakan sebahagian naratif yang berlaku dalam zaman Jabriyah selain penularan fahaman songsang bercanggah dengan agama Islam.
Menurutnya golongan tersebut perlu mengenepikan perbahasan berkaitan perkara furu’ atau cabang, sebaliknya bersatu beri kefahaman sebenar dan mempertahankan tuntutan Islam.
“Kita mesti memastikan rakyat benar-benar faham serta bersatu mempertahankan pelaksanaan agama, dan menjadi benteng kukuh kepada kerajaan mempertahankan Islam.
“Kita semua dari pelbagai institusi pondok dan pusat pengajian Islam sebagai wadah memperkukuh ukhuwah serta penyatuan agenda dakwah di negeri ini,” kata ADUN Demit itu. – HARAKAHDAILY 30/5/2025











