
KOTA BHARU: Kelab Bola Sepak Kelantan Darul Naim (KDN FC) akan menanggung sepenuhnya kos pemasangan papan pemarkahan baharu di Stadium Sultan Muhammad IV.
Zamakhshari Muhammad berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama KDN FC yang turut bersetuju membawa masuk pelabur bagi menjayakan usaha tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat Negeri berkata, kerjasama itu kini berada pada peringkat memuktamadkan perjanjian.
“Alhamdulillah, perkara itu sudah memasuki peringkat untuk memuktamadkan kerjasama. Secara asasnya pihak pelabur bersetuju untuk menggantikan papan pemarkahan sedia ada dengan yang baharu,” katanya kepada pemberita.
Zamakhshari berkata demikian selepas Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) Pembangunan Dasar dan Polisi Sukan Mesra Islam Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, semalam.
Menurutnya, kerajaan negeri akan menetapkan beberapa terma bagi memastikan perjanjian tersebut memberi manfaat bersama kepada semua pihak.
Katanya, kos pemasangan papan pemarkahan baharu itu dijangka menelan belanja antara RM3 juta hingga RM4 juta dan akan ditanggung sepenuhnya oleh pelabur.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa kerosakan papan pemarkahan sedia ada tidak diketahui secara terperinci kerana ia berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Bagaimanapun, kita diberitahu papan pemarkahan sedia ada masih menggunakan teknologi lama dan selepas ini pihak pelabur akan memasang papan pemarkahan berteknologi baharu di Stadium Sultan Muhammad IV,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/5/2025











