
PERINDUSTRIAN di Kedah telah bertapak sejak dahulu lagi iaitu di era sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, namun ia mengorak kejayaan selepas tahun 2000 dan semakin drastik di era pemerintahan kerajaan negeri kini.
Antara yang menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini, apabila Kedah berjaya menububuhkan Kedah Talent Development Centre (KTDC) iaitu memadankan kerja-kerja keperluan industri dengan pelbagai bakat yang dikenal pasti untuk menyokong sektor pelaburan.
Sejarah umum kawasan perindustrian di Kedah
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Dr Haim Hilman Abdullah, pada pertemuaannya bersama Harakahdaily berkata, Kedah telah mengorak langkah bergerak ke arah negeri perindustrian sejak 1970-an lagi walaupun ketika itu khususnya di era 1980-an ia lebih kepada sektor industri berdasarkan pertanian.
Pada ketika itu katanya, kawasan perindustrian yang telah dibuka, antaranya Kawasan Perindustrian Mergong di Alor Setar, kemudian disusuli penubuhan Kawasan Perindustrian Sungai Petani untuk pelaburan ringan seperti tekstil dan makanan.
Secara umumnya jelas beliau, Kedah memulakan sektor perindustriannya hampir sama tempohnya dengan Pulau Pinang, tetapi ketika itu Kedah belum bergerak ke sektor berteknologi tinggi dan hanya memberi penumpuan kepada sektor industri pertanian dan industri ringan.
Namun, di era tahun 1990-an jelas Dr Haim, sektor perindustrian diperluaskan dan mula bergerak ke arah pembuatan elektronik dan komponen automotif, selain menubuhkan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) pada tahun 1996.
KHTP katanya, merupakan taman berteknologi tinggi pertama di Malaysia yang memberi penumpuan kepada industri semikonduktor, elektrik dan elektonik.
“Tahun hadapan KHTP akan menyambut ulang tahun ke 30 tahun, diharapkan pihak pengurusan Kulim Technology Park Corporation (KTPC) akan menganjurkan program khas sempena 30 tahun, tertubuhnya KHTP,” cadang beliau.
Mengimbau 20 tahun lalu ujarnya, pada 1995, kilang Modenas iaitu pembuatan motosikal model pertama Malaysia, Kriss, telah dilancarkan dan Kedah menjadi tempat bermula sejarah permotoran negara khususnya motosikal, di Gurun.
“Sungguhpun begitu, walaupun Modenas kini kurang mendapat publisiti, dalam konteks negeri ini, kita tidak ada kuasa ke atas syarikat tersebut, Modenas ini di bawah pemantauan Kerajaan Pusat, rasanya perlu dilihat dan keperkasakan semula,” kata beliau.
Dr Haim juga menegaskan, dalam kerancakan ekonomi negara yang berkait dengan Petronas, Kedah turut mendapat manfaatnya apabila terbina Petronas Chemicals Fertiliser Kedah (PCFK) pada 1999, yang merupakan pengeluar utama urea di Malaysia terletak di Gurun.
Katanya, beliau difahamkan jumlah pelaburan terkini sekitar RM800 juta namun, secara keseluruhannya jumlah pelaburan itu mungkin sudah melebihi RM1 billion.
“Walaupun ia di bawah Kerajaan Pusat, tetapi menunjukkan kepercayaan syarikat-syarikat besar, seperti Modenas, Petronas, melabur di Kedah. Dalam perkara ini pastinya ia mempunyai kaitan dengan Wawasan 2020.
“Iaitu di bawah kepimpinan (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melihat syarikat-syarikat besar ini tidak hanya tertumpu di Terengganu atau Pengerang sahaja,” jelasnya lagi.
Perindustrian di era selepas tahun 2000
Kata Dr Haim, bermula tahun 2000 hingga kini iaitu pada era kritikal, maka dibina KHTP secara berfasa, dan dimasuki oleh syarikat-syarikat besar seperti Intell, Osram dan syarikat semikonduktor global.
“Kita juga telah mula menggerakkan secara menyeluruh untuk memacu kawasan perindusrian baharu iaitu di Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (SBEZ).
“Ini sangat penting kerana Bukit Kayu Hitam ini bukan hanya bersempadan dengan Thailand, tetapi ia juga merupakan pintu masuk dan keluar pasaran yang besar. Iaitu pasaran Thailand dan Indochina hinggalah ke China dan Asia Tengah.
“Maksudnya, pintu masuk ke Thailand dan seluruh negara-negara di Indochina dan China sendiri. Kita nak bangunkan SBEZ ini seperti Johor-Singapore Economic Zone.
“Baru-baru ini saya telah tubuhkan Jawatankuasa Tindakan Pelaburan dan Pembangunan Ekosistem Industri di mana fungsi jawatankuasa ini untuk melihat peluang dan potensi menyeluruh kawasan pelaburan di Bukit Kayu Hitam.
“SBEZ ini mula rancak ketika Kedah di bawah pemerintahan MB (Menteri Besar) sekarang, dengan memberi fokus kepada Kedah Science Technology Park (KSTP), Delapan dan QEW Smarts Integrated Industrial Park,” maklumnya lagi.
Peningkatan pelaburan katanya, menjadi drastik sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih Kedah pada 17 Mei 2020, di mana ketika itu portfolio pelaburan diterajui Dato’ Wira Ku Abdul Rahman Ku Ismail.
Kecemerlangan peranan dilaksanakan Dato’ Ku Rahman telah disambung setelah portfolio itu bertukar kepada Dr Haim selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 lalu.
Misi pelaburan luar negara
Jelas Dr Haim, pada misi ke China pada awal Januari tahun lalu, pihaknya telah memberi tumpuan kepada kawasan perindustrian di negara itu, selain bertemu dengan beberapa syarikat seperti Green Energy, Solar Panel dan lain-lain untuk melihat potensi pelaburan besar yang boleh diraih Kedah.
“Pada misi itu saya bersama MB dan Invest Kedah, membawa matlamat kepada satu industri stategik yang akan dibangunkan iaitu kawasan Renewal Energy Zone, di Bukit Kayu Hitam dengan menyasarkan untuk penghasilkan sekitar 2 gigawatt tenaga hijau di situ.
“Sekiranya ia dapat direalisasikan di SBEZ ini, tenaganya datang dari tenaga hijau atau solar, dan menjadikan industri yang ke hadapan serta mungkin yang pertama di Malaysia. Tetapi setakat ini ia belum dimulakan dan sedang menilai pihak-pihak yang berminat menjadi rakan stategik.
“Sudah ada yang berminat tetapi dalam proses penilaian untuk mencari rakan strategik terbaik,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu katanya lagi, kunjungan delegasi Kedah bersama Menteri Besar pada Julai tahun lalu, yang juga ke China untuk melihat potensi industri ‘glass’ atau kaca, dan tenaga baharu termasuk syarikat berkaitan aluminium.
Kata beliau, industri itu yang akan dibawa ke kawasan Perindustrian Bukit Selambau iaitu kawasan industri berat.
Mengulas lanjut, kawasan perindustrian Kedah katanya, dibahagi mengikut fokus, seperti KHTP untuk industri berkaitan semi-konduktor dengan ‘medical diverse’, Kawasan Perindustrian Padang Meha pula untuk automotif dan ‘sustainable energy’.
Manakala Bukit Selambau dan Kawasan Perindustrian Gurun pula untuk sektor industri berat, Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap, di samping SBEZ berkaitan elektrikal elektronik, ‘renewal energy’ dan ‘data centre’.
“Untuk yang terbaharu, delegasi Kedah diberi kesempatan ke Shienzen, China. Di sana kami membentangkan kepada 250 delegasi syarikat pelaburan Shienzen, berkenaan potensi pelaburan di Kedah.
“Kita juga mengambil peluang ruang itu untuk mengetahui kawasan itu yang merupakan perkampungan nelayan, tetapi menjadi bandar kota metropolitan yang hebat dan hab kepada pembangunan AI (kecerdasan pembuatan) untuk negara China.
“Di situ jugalah kilang Huawei, ibu pejabat BYD iaitu syarikat kereta elektrik. 40 tahun dahulu dari kampung nelayan boleh berubah, mereka berjaya mengatasi dari sudut GDP dan ekonomi dengan Hong Kong yang terletak bersebelahan dengan mereka.
“Ini menjadi aspirasi kepada kita untuk memahami model pembangunan itu untuk menjadikannya asas pembangunan indutsri di Kedah,” ceritanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra.
Pihaknya juga difahamkan, syarikat-syarikat di Shienzen itu juga berhasrat untuk mencari peluang pelaburan di luar China dan membuka kilang-kilang di Malaysia.
Dalam masa yang sama katanya, Kedah dan Selangor telah dipilih untuk melakukan pembentangan dan Kedah telah mempromosi dengan sebaiknya.
“Sekiranya semua berjalan dengan baik kemungkinan jumlah pelaburan Shienzen yang akan masuk ke Kedah dalam sekitar USD20 billion atau RM90 bilion iaitu satu jumlah yang cukup besar dan kita berharap Kedah akan dipilih.
“Kalau di KHTP pelaburan RM182 billion mampu menawarkan pekerjaan kepada 43,000 orang, sekiranya pelaburan RM90 billion itu masuk ke SBEZ, kita jangka dapat membuka peluang pekerjaan kepada 25,000 orang,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 30/5/2025











