
KANGAR: Dewan Muslimat PAS Kawasan Kangar menziarahi seorang ibu tabah, Rosidawati Shakut, 32, di sebuah rumah sewa daif berdekatan pasar malam Bintong, di sini kelmarin.
Rosidawati yang baru sahaja melahirkan anak bongsunya 21 hari lalu kini dalam keadaan serba kekurangan, tanpa pendapatan tetap dan suami pula dalam tahanan polis.
Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kangar, Suhanawati Jaafar berkata, ziarah tersebut adalah sebahagian daripada usaha kebajikan berterusan pihaknya dalam menyantuni golongan memerlukan.
“Kami hadir bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi membawa mesej bahawa umat Islam perlu saling peduli dan tidak membiarkan saudara kita berseorangan dalam kesusahan,” katanya.
Beliau menambah, keadaan Rosidawati amat menyentuh hati kerana masih dalam pantang, namun tetap tabah menghadapi dugaan hidup.
Rosidawati mempunyai sembilan anak, dua daripadanya diserahkan kepada keluarga angkat, manakala tujuh lagi di bawah jagaan beliau.
Lima anaknya yang berusia antara 15 hingga 9 tahun sedang melanjutkan pelajaran di pusat tahfiz asnaf di Langkawi, mereka pulang sementara membantu ibunya dalam pantang.
Terdahulu, Rosidawati telah menerima lawatan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Persatuan Komuniti Sukarelawan Negeri Perlis (PVAC).
Agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) itu turut menyalurkan bantuan makanan serta pakaian keperluan keluarga tersebut.
Muslimat PAS Kawasan Kangar menyeru orang ramai agar turut tampil membantu Rosidawati sekeluarga dengan menghulurkan sumbangan dalam apa jua bentuk demi meringankan beban yang ditanggung. – HARAKAHDAILY 30/5/2025











