Retorik CAT: Kewangan Pulau Pinang tenat

Terdedah banyak retorik dan hipokrit

Iszuree Ibrahim
- Advertisement -

GEORGE TOWN: Pekung yang cuba disembunyikan oleh pemimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang terbuka dengan sendirinya sepanjang Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu berlangsung, baru-baru ini.

- Advertisement -

Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim berkata, negeri pentadbiran DAP itu selama ini berbangga mencanang dasar dan prinsip Cekap, Akauntabel, Telus (CAT) rupanya menyembunyikan begitu banyak retorik dan hipokrit.

Terutama katanya, pada aspek kewangan di mana pertikaian terhadap pengurusannya bukan sahaja disangsikan oleh barisan pembangkang, tetapi juga dari pihak kerajaan sendiri.

“Sebagai sebuah negeri yang dikatakan maju, bagaimana boleh kedudukan kewangan menunjukkan kemerosotan dan membimbangkan. Ini bererti lemah dan boros!

“Malah berdasarkan data sedia ada, perbelanjaan negeri sejak tahun 2019 telah meningkat daripada RM779.54 juta hingga RM1 bilion pada tahun 2025.

“Namun hasil kerajaan negeri tidak melonjak dengan ketara iaitu masih kekal sekitar RM500 juta hingga RM600 juta,” bidas beliau pada satu kenyataan, di sini.

Situasi itu tambah Iszuree telah memaksa negeri pentadbiran DAP itu memohon pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM100 juta sebagai pendahuluan.

Ia dikatakan untuk mengimbangi jangkaan defisit RM500 juta bagi tahun ini, sedangkan semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada Sidang DUN tahun lalu, Ketua Menteri meletakkan angka anggaran defisit sebanyak RM33.63 juta.

“Kedengarannya seperti sangat kronik kerana setelah hampir separuh tahun berlalu, seolah-olah baru kini menyedari keadaan sebenar bahawa kantung negeri semakin menyusut.

“Bukan sahaja tidak mencapai sasaran hasil, malah jurang defisit semakin membengkak. Lebih mengejutkan jumlah dalam Akaun Wang Disatukan dilaporkan mengalami penyusutan sangat banyak,” tegasnya lagi.

Iszuree mempersoalkan bagaimana hal itu boleh berlaku, di mana daripada jumlah RM1.154 bilion pada tahun 2019, hanya tinggal berbaki sebanyak RM50 juta sahaja pada 2025.

Itu katanya, tidak termasuk pertikaian yang dibangkitkan berkaitan perolehan daripada Penang Development Corporation (PDC) melibatkan Batu Kawan Industrial Park (BKIP) di Byram.

“Saya harap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat melihat hal ini,” tegasnya lagi dan menggesa SPRM jangan tiada mata dan telinga terhadap isu tersebut.

Dalam pada itu katanya lagi, projek Lebuh Raya Penang Island Link (PIL) yang berharga RM8.88 bilion, kemungkinan dilihat akan mengulangi pembiayaan sama seperti projek Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara.

Di mana jelasnya, projek LRT yang kononnya akan dibiayai dari inisiatif swasta, kemudian bertukar menjadi pembiayaan Kerajaan Persekutuan yang bermula dengan jumlah peruntukan sebanyak RM10 bilion, tetapi sekarang sudah meningkat ke RM17.3 bilion.

“Apakah skrip seumpama akan terus berulang-ulang? Ini bukan sahaja sebagai bukti kelemahan dan kegagalan DAP mentadbir urus kerajaan, tetapi dikhuatiri wujudnya penyelewengan dan salah guna dana rakyat.

“Sepatutnya dana sebesar itu dimanfaatkan demi kepentingan pembangunan negeri dan negara serta keperluan rakyat secara sewajarnya.

“Mungkinkah yang untungnya adalah politikus nepotisme yang berkepentingan dan tauke serta taikun kroni mereka?” soal beliau mencari kepastian dan jawapan.

Namun amat malang katanya, dalam keadaan kedudukan kewangan seteruk itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diketuai DAP memilih pendekatan klasik iaitu menjadikan rakyat sebagai sasaran.

Rakyat Pulau Pinang selepas ini ujarnya, kemungkinan akan berhadapan dengan kenaikan kutipan cukai, selain pemberian bantuan-bantuan akan dihentikan. – HARAKAHDAILY 30/5/2025

- Advertisement -