RUU URA: Pemuda PAS Gombak, Batu serah bantahan

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak, Mohamad Kamarul Helmi Mohamad Nawawi (empat dari kiri) menyerahkan bantahan memorandum RUU URA kepada Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Shari yang juga Ahli Parlimen Gombak di Masjid Ar-Rahimah, Taman Greenwood, Batu Caves, Selangor, hari ini. (FOTO: HARAKAHDAILY/Suffi Kamari)
- Advertisement -

GOMBAK: Dewan Pemuda PAS Kawasan Gombak telah menyerahkan satu memorandum bantahan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) kepada Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, hari ini.

- Advertisement -

Ketua Penerangannya, Mohamad Suffi Kamari berkata, memorandum itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Dewan Pemuda PAS Malaysia yang sedang mengedarkannya ke semua kawasan Parlimen di seluruh negara.

“Kebimbangan RUU URA ini cukup penting untuk rakyat tahu akan ancaman-ancaman yang sangat sebenar dan telahpun berlaku di mana dengan kita membantah nilai ambang yang diturunkan.

“Daripada 100 peratus kepada 75 ke 80 ke 50 peratus; menafikan hak yang jamin dalam Perkara 13 Perlembagaan hak memiliki harta bagi setiap warganegara.

“Ini juga banyak bertentangan dengan akta-akta tertentu dan Akta-akta Kanun Tanah Negara, Akta Strata menafikan hak kita semua sebagai rakyat apabila RUU URA ini yang didraftkan pada November 2024.

“Saya rasa ia perlu diteliti semula dan kita mendesak supaya seluruh Ahli Parlimen untuk membaca memorandum ini dan meneliti, kita bukan sekadar bantah,” katanya selepas solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimah, Taman Greenwood, di sini hari ini.

Suffi berkata, RUU itu yang dirangka sejak November 2024 dilihat mendapat inspirasi daripada agensi pembangunan perumahan Singapura, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Katanya, hasil nasihat HDB kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), beberapa elemen yang diambil dikhuatiri mengutamakan kepentingan komersial pihak swasta.

Dalam memorandum tersebut, 12 resolusi turut dikemukakan antaranya mendesak agar agensi kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dilibatkan dalam pembangunan semula bandar.

Ini kata beliau, bagi mengelakkan dominasi pihak swasta yang cenderung kepada keuntungan sepenuhnya.

“Jadi kita membantah dan menghantar memorandum ini kepada 12 resolusi yang perlu diteliti oleh Ahli Parlimen dan saya rasa resolusi ini bukan dibuat secara semberono dan bukan partisan punya isu.

“Inilah input yang diberikan oleh pakar dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili rakyat untuk memastikan hak rakyat dapat diberikan dalam meneliti setiap RUU yang nak dibentangkan.

“Kita minta dan desak supaya diteliti semula bahkan kita minta ditarik, ditariklah daripada dibentangkan pada sidang Parlimen yang akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Amirudin Shari yang juga Ahli Parlimen Gombak dan pasukan beliau kerana menerima kehadiran Pemuda PAS Gombak serta mendengar secara langsung kebimbangan dibangkitkan.

“Kita mohon agar kawan-kawan semua teliti kembali RUU URA draf November 2024. Kami hadir menghantar memorandum ini dan membantah sekeras-kerasnya pelaksanaan rang undang-undang ini,” katanya.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu mendesak agar kerajaan meneliti semula RUU URA serta memastikan setiap dasar yang mahu dibawa dan dibentangkan di Parlimen berpaksikan kepada kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Ketua Penerangannya, Mohd Syafiq Mohd Safien berkata, kelulusan RUU ini bukan sahaja memberi kesan kepada masyarakat Melayu malah impaknya dijangka turut dirasai oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaum mahupun pendirian politik.

“Kami menuntut agar Ahli Parlimen Batu, Prabakaran Parameswaran tampil membawa suara rakyat dengan penuh keberanian dan ketegasan dalam perbahasan RUU itu di Parlimen serta dengan jelas menyatakan penolakan terhadap RUU ini.

“Pihak kami percaya bahawa Parlimen Batu bukan sekadar kerusi legislatif tetapi sebuah suara keramat rakyat khususnya masyarakat Melayu yang menjadi majoriti di tengah-tengah bandar yang sedang pesat membangun.

“Justeru, tanggungjawab ini tidak boleh dipandang ringan dan perlu digalas dengan penuh integriti serta keberanian politik,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Khamis.

Maka, beliau tidak menolak sebarang usaha pembangunan atau penambahbaikan terhadap infrastruktur dan kemudahan awam, namun setiap inisiatif tersebut mestilah dilaksanakan secara adil dan menyeluruh.

Iaitu tegas beliau, mesti dengan mengambil kira setiap suara serta hak semua lapisan rakyat tanpa sebarang pengecualian.

“RUU ini adalah dilihat berpotensi dan boleh menjejaskan hak milik, kestabilan komuniti serta menimbulkan ketidaktentuan terhadap masa depan penduduk Melayu di bandar, khususnya di kawasan padat seperti Batu,” katanya.

Terdahulu, Dewan Pemuda Pas Kawasan Batu berkesempatan menyerahkan satu memorandum bantahan berhubung RUU itu kepada P Prabakaran melalui pegawai khasnya, Hanif Yim.

Ia bertujuan sebagai langkah awal menyatakan pendirian rasmi Dewan Pemuda PAS Malaysia terhadap RUU yang dianggap tidak berpihak kepada kepentingan masyarakat setempat terutama kepada masyarakat melayu di kawasan bandar.

Penyerahan memorandum ini diketuai oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Batu, Izzat Ghazali, yang mewakili suara dan kebimbangan rakyat setempat terhadap implikasi RUU tersebut. – HARAKAHDAILY 30/5/2025

- Advertisement -