
HIV/AIDS semakin menjadi ancaman kesihatan global yang meragut jutaan nyawa setiap tahun. Isu ini bukan sahaja menjadi kebimbangan di luar negara seperti Amerika Syarikat dan Thailand, tetapi juga di dalam negara kita sendiri. Di Malaysia, isu ini menjadi semakin membimbangkan apabila statistik menunjukkan golongan LGBTQ, khususnya lelaki yang melakukan hubungan sejenis (MSM), merekodkan kadar jangkitan HIV yang semakin meningkat.
Golongan LGBTQ, khususnya MSM, menunjukkan kadar prevalens HIV yang tinggi berbanding populasi umum. Menurut data UNAIDS (2023), satu daripada empat jangkitan HIV baharu di peringkat global berlaku dalam kalangan MSM. Di Malaysia, laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (2023) menunjukkan bahawa golongan MSM menyumbang hampir 70 peratus daripada kes jangkitan HIV baharu. Faktor biologi, seperti tisu rektum yang mudah mengalami kecederaan mikro semasa hubungan seksual tanpa perlindungan, meningkatkan risiko penularan virus ini. Selain itu, stigma sosial mendorong sebahagian besar golongan LGBTQ untuk menghindari penggunaan kondom dan mendapatkan perkhidmatan kesihatan, sekali gus memperbesar lagi risiko penularan HIV. Isu ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan komuniti LGBTQ, malah turut membebankan sistem kesihatan awam negara dan memberi kesan sosioekonomi.
Kajian menunjukkan bahawa diskriminasi dan stigma terhadap golongan LGBTQ menjadi punca utama pesakit berasa ragu atau enggan mendapatkan rawatan dan pencegahan HIV. Human Rights Watch (2016) melaporkan bahawa di beberapa buah negara Asia, dasar yang menyekat akses kepada kondom dan perkhidmatan kesihatan untuk golongan MSM menyumbang kepada peningkatan jangkitan HIV. Di Malaysia, kajian oleh Institut Kesihatan Umum (2023) mendapati bahawa 78.7 peratus masyarakat mempunyai sikap negatif terhadap individu yang hidup dengan HIV, perkara ini mendorong mereka untuk menyembunyikan status dan mengelak daripada mendapatkan rawatan. Keadaan ini memburukkan lagi penularan HIV dalam kalangan komuniti LGBTQ dan menambah beban kesihatan awam serta memberi impak terhadap sosioekonomi negara.
Dari perspektif Islam, menjaga nyawa merupakan tanggungjawab bersama. Al-Quran menegaskan: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan…” (Al-Baqarah: 195), yang mengingatkan umat Islam agar menjaga diri daripada bahaya dan mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan yang berpotensi mendedahkan kepada kemudaratan, termasuk penyakit berjangkit seperti HIV. Walaupun Islam mengharamkan hubungan sejenis, hak untuk mendapatkan rawatan dan perlindungan kesihatan adalah hak asasi yang perlu dihormati. Prinsip Maqasid Syariah yang menekankan pemeliharaan nyawa dan kesejahteraan manusia menyokong usaha untuk menghapuskan stigma dan menyediakan rawatan kepada golongan yang memerlukan.
Dalam konteks HIV/AIDS, pendekatan yang menyeimbangkan antara larangan agama terhadap hubungan sejenis dan hak individu untuk mendapatkan rawatan harus diketengahkan agar komuniti ini tidak terus terpinggir.
Rasulullah SAW turut bersabda, “Tidak ada penyakit yang Allah turunkan, melainkan Dia juga menurunkan ubatnya.” (Hadis Riwayat Bukhari). Hadis ini menekankan kewajipan umat Islam untuk mencari rawatan bagi sesuatu penyakit.
Bagi mengurangkan penularan HIV/AIDS dalam kalangan golongan LGBTQ, langkah bersepadu perlu dilaksanakan. Pendekatan kesihatan awam yang berkesan memerlukan strategi holistik yang bukan sahaja tertumpu kepada rawatan, tetapi juga pendidikan, pencegahan dan perubahan sikap masyarakat. Pendidikan kesihatan seksual yang menyeluruh wajar ditingkatkan bagi meningkatkan kesedaran mengenai pengetahuan terhadap HIV/AIDS, kepentingan penggunaan kondom dan keperluan menjalani ujian saringan secara berkala. Kempen awam untuk mendidik masyarakat terutamanya yang beragama Islam tentang tegahan hubungan songsang, pendidikan kesihatan melibatkan risiko yang terlibat mungkin akan lebih mudah diterima sekiranya seseorang individu itu melakukan perbuatan seperti MSM ini. Pendidikan sebegini boleh disampaikan melalui sekolah, masjid dan program komuniti dengan penglibatan pemimpin agama dan pakar kesihatan.
Dari segi perundangan dan dasar, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menambah baik undang-undang berkaitan amalan MSM dan aktiviti sebegini, mendukung kempen kesedaran masyarakat dalam membanteras HIV/AIDS dan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk mendidik dan membimbing masyarakat yang telah terjebak dalam aktiviti sebegini.
Sebagai penutup, HIV/AIDS dalam kalangan LGBTQ bukan sekadar isu peribadi tetapi cabaran masyarakat yang memerlukan penyelesaian kolektif. Pendekatan secara holistik, pendidikan seksual yang berteraskan pendidikan agama, menghapuskan stigma dan menyediakan rawatan yang adil adalah langkah penting ke arah matlamat ‘Get-to-Zero’ HIV/AIDS. Tanggungjawab bersama ini bukan sahaja selaras dengan prinsip kesihatan awam moden, tetapi juga berakar kukuh dalam ajaran Islam yang menekankan pemeliharan nyawa dan kesejahteraan umat manusia.
Penulis:
DR. JANNATUL MADIHAH ABU BAKAR
Setiausaha WARAK Malaysia
PROF. MADYA DR. ASPALILAH ALIAS
Pensyarah, Universiti Sains Islam Malaysia
Timbalan Presiden II PAPISMA – HARAKAHDAILY 30/5/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











