
IPOH: Balu mangsa kemalangan tragis yang mengakibatkan kematian sembilan anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, 13 Mei lalu, mendapat perhatian Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Daerah Kuala Muda, Kedah.
Menurut Penolong Setiausaha persatuan tersebut, Sorayati Ismail, kunjungan mereka ke Markas FRU, Unit 5, Ipoh, sebagai rasa simpati terhadap ahli keluarga mangsa yang terlibat dengan kejadian itu.
“Kami rasa terpanggil untuk membantu, walaupun yang terlibat bukan semuanya dari negeri Kedah, namun atas dasar simpati dan tanggungjawab, kita laksanakan juga.
“Apatah lagi, semua dari kalangan kami di PBPM Daerah Kuala Muda ini merupakan bekas anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dari pelbagai unit dan pelbagai jawatan,” katanya kepada Harakahdaily, di sini.
Kunjungan yang disertai Pengerusi PBPM daerah tersebut, Misnan Basri, turut mengadakan perjumpaan bersama Inspektor Mohamad Helmi Ibrahim, mewakili Komander FRU, Unit 5 berkenaan.
Kata Sorayati lagi, pihaknya menyampaikan sumbangan berupa wang tunai kepada balu-balu mangsa, sebagai meringankan sedikit bebanan yang ditanggung oleh mereka.
“Kami juga berharap dengan sumbangan ini, dapat meredakan sedikit kesedihan yang ditanggung oleh mereka atas ujian yang tak disangka serta tak diduga ini,” tambah beliau lagi.
Selain PBPM Daerah Kuala Muda, terdapat juga beberapa PBPM daerah lain turut menyampaikan sumbangan pada majlis sama, antaranya PBPM Daerah Sik, PBPM Ipoh, termasuk bekas polis Central Ipoh dan Sungai Senam, Perak.
Sumbangan diserahkan kepada Inspektor Mohamad Helmi, untuk diagihkan kepada yang terlibat.
Pada kejadian kemalangan 13 Mei lalu, seramai 10 anggota FRU telah terkorban apabila trak yang mereka naiki bertembung dengan lori membawa muatan batu, di Jalan Chikus, Sungai Lampam, Teluk Intan, kira-kira jam 8:30 pagi. – HARAKAHDAILY 30/5/2025











