Muslimat: Perkukuh peranan mata rantai perjuangan

To’ Puan Zarani Othman
- Advertisement -

KEMAMAN: Muslimat PAS Negeri Terengganu diseru untuk memperkukuhkan peranan mereka sebagai ‘mata rantai perjuangan’ demi memastikan kelangsungan kepimpinan Islam dan mempertahankan Kerajaan Negeri Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

- Advertisement -

Ketuanya, To’ Puan Zarani Othman, berkata, setiap wanita Islam yang beriman perlu memahami peranan mereka yang lebih besar daripada sekadar sokongan biasa.

“Muslimat bukan hanya kepada golongan tua, tetapi merangkumi seluruh wanita Islam yang beriman. Oleh itu saya mengajak kepada seluruh muslimat yang hadir pada hari ini di Padang Astaka Kemaman dan juga muslimat yang tidak tidak hadir, marilah kita bangkit dan terus bergerak dalam satu ukhuwah, bersatu hati dengan satu fikrah kita insya-Allah, di samping kita menyatukan tindakan tindakan kita bagi meneruskan perjuangan yang diperintahkan oleh Allah SWT.

“Perjuangan yang diteruskan oleh para nabi yang dipelopori oleh Rasulullah saw, sahabat-sahabat tabiin dan juga para pejuang Islam yang dahulu hinggalah sekarang dan insya-Allah pada masa yang akan datang bagi kita mempertahankan Kerajaan Terengganu memerintah negeri ini pada PRU ke16, itulah sebabnya himpunan kita pada hari ini dinamakan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu. Bukan saja wanita tetapi kepada seluruh muslim yang ada di seluruh Negeri Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Muslimat Negeri Terengganu 1.0 yang berlangsung di Padang Astaka, di sini, hari ini. Hadir sama Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Timbalan serta Naib Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Tuan Roslina Tuan Sulaiman, Zuraida Muhammad Nor; dan setiausaha, Hajah Rahimah Muda.

Menurut Zarani, muslimat bukan hanya sebagai pelengkap perjuangan, sebaliknya menjadi ejen penerangan yang berperanan menyampaikan maklumat tepat mengenai dasar dan program kerajaan negeri kepada rakyat.

“kita menjadi tulang belakang kepada kerajaan negeri dengan kita menyebarkan dasar kerajaan negeri dengan kita menerangkan pelbagai program yang telah dilaksanakan.

“Kalau kita ikut ucapan daripada Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semalam sebenarnya banyak agenda, banyak dasar program program yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“Kitalah mata rantai dalam perjuangan, kitalah merupakan ejen penerangan kepada masyarakat supaya tidak timbul apa yang dibuat oleh kerajaan kita.

“Ramai masyarakat bawah yang tidak tahu, jadi ini merupakan tugas dan juga peranan kita dan ayuh semua kita merebut tawaran yang Allah janjikan kepada kita dengan mengikhlaskan diri kita dengan tekad azam dan kerja yang kuat bagi meraih meraih syurga yang dijanjikan oleh Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/5/2025

- Advertisement -