
KEMAMAN: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, mengingatkan bahawa wanita bukan sekadar penonton dalam perjuangan Islam, tetapi menjadi tonggak utama dalam memastikan kejayaan perjuangan Islam dan kemenangan parti terus terpelihara.
“Allah SWT menyatakan kepada kita untuk berlumba-lumba melakukan kebajikan. Oleh itu kita khususnya muslimat bukanlah sekadar penonton tetapi kita adalah tulang belakang kepada matlamat yang dikehendaki oleh Allah SWT.
“Kitalah yang memberikan kekuatan menjadi pendukung untuk menjayakan misi visi ini insya-Allah,” katanya ketika berucap pada Himpunan Muslimat Negeri Terengganu 1.0 yang berlangsung di Padang Astaka, di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, To’ Puan Hajah Zarani Othman.
Mengulas lanjut kata Nuridah, kemenangan yang diberikan oleh Allah SWT kepada PAS dan negeri Terengganu merupakan satu amanah yang mesti dipertahankan.
“Kita perlu istiqamah dengan prinsip Islam dan mengutamakan budaya ilmu serta tarbiah supaya kemenangan ini tidak rapuh. Tanpa kefahaman yang benar, kita tidak akan mampu mempertahankan apa yang telah diperjuangkan,” ujarnya.
Menurut beliau, muslimat juga perlu sentiasa dekat dengan masyarakat, bukan hanya ketika musim pilihan raya, tetapi juga setiap masa.
Hal ini katanya, penting bagi menyebarluaskan kefahaman Islam dan memastikan PAS kekal relevan dalam kehidupan rakyat.
“Dekati masyarakat, dekati rakyat bukan sahaja di musim pilihan raya tetapi setiap masa sebaik-baiknya untuk kita menyebar luaskan fahaman Islam.
“Kata-kata siapakah yang lebih baik daripada orang yang menyeru ke jalan Allah lalu tugas ini kita laksanakan bukan sekadar untuk dipapar salam buku mesyuarat agung kita tetapi lebih daripada itu dengan rasa bertanggungjawab untuk menjadi mata rantai kepada apa yang telah direalisasikan oleh baginda Rasulullah saw, kukuhkan kasih sayang sesama kita dan sesama masyarakat.
“Tidak beriman seseorang kamu selagi kamu tidak mengasihi saudara saudara kamu sebagaimana kamu mengasihi diri kamu sendiri,” katanya.
Beliau turut berpesan agar muslimat memperkukuh organisasi parti dan tidak leka dengan kemenangan yang telah dikecapi.
“Kita perlu pastikan parti kita sentiasa berada dalam saf yang tersusun. Perkuatkan organisasi jangan leka dengan kemenangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/5/2025











