
KOTA BHARU: Amalan turun padang melalui ziarah ke rumah penduduk dan singgah di kedai kopi tempatan memberi banyak manfaat kepada rakyat serta mengukuhkan hubungan antara kerajaan negeri dan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong, Shaari Mat Yaman berkata, pendekatan ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, bahkan membuka ruang perbincangan santai yang menghasilkan pelbagai cadangan program untuk manfaat penduduk.
“Kadang-kadang kita masuk ke kedai kopi yang tak pernah saya jejaki, malah pemiliknya bukan penyokong ‘hijau’. Tapi alhamdulillah, mereka tetap sambut baik,” katanya.
Beliau berkongsi pengalaman baru-baru ini ketika singgah di sebuah kedai kopi di Lundang, di mana pertemuan tidak rasmi itu bertukar menjadi ‘mini mesyuarat’ bagi membincangkan pelaksanaan program kampung.
Hasilnya, satu kejohanan karom berjaya dianjurkan di kawasan yang majoritinya penyokong Umno, dengan penyertaan 32 regu.
“Apa yang membanggakan, mereka sendiri minta saya berucap pada majlis itu bagi memeriahkan suasana pertandingan.
“Ini satu perkembangan positif, kerana dahulu sukar untuk mereka menerima kehadiran kita,” ujarnya ketika ditemui pada sesi ‘lepak kedai kopi’, dalam DUN Bunut Payong, di sini semalam.

Beliau berkata, pendekatan turun ke lapangan ini juga diteruskan melalui program ziarah berkala kepada penduduk, termasuk warga emas, pesakit dan keluarga petugas parti.
Hari ini, sebanyak 10 keluarga diziarahi oleh beliau bersama rombongan petugas MTD Bunut Payong yang terdiri daripada penghulu mukim, petugas Majlis Tindakan DUN (MTD), pemuda dan penghulu mukim.
Menurutnya, beliau memilih untuk menziarahi keluarga MTD memandangkan keluarga mereka yang sakit sering ketinggalan untuk dibantu kerana bertugas mencari rakyat sakit, hingga terlupa keluarga sendiri.
“Program rasmi kita buat seminggu sekali, biasanya pada hari Rabu. Kita ziarah sekitar 10 keluarga,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/5/2025











