
UMAT hari ini diserang virus pemikiran penjajah yang memisahkan politik dan Islam. Melahirkan kelompok masyakat yang tidak ambil tahu tentang politik atau kumpulan umat yang berpolitik tanpa pedoman Islam.
Islam adalah cara hidup yang menyuluruh, mencakupi seluruh perihal kehidupan manusia. Sebab itu kalimah ‘ad-deen’ tidak ditafsir sebagai ‘religious’ atau agama yang terbatas maknanya. Sebaliknya Islam ialah akidah perjuangan bagi penganutnya yang setia.
Hari ini wujud penyakit sekular yang meresap masuk ke dalam jiwa umat Islam hingga menjadi anutan yang dipegang kuat tanpa keraguan. Sedang ia berbeza dengan teladan politik yang ditunjukkan oleh para Rasul termasuk Nabi Muhammad SAW.
Sekularisme adalah ideologi mungkar yang bercanggah akidah Islam. Dalam istilah politik, sekularisme adalah pemisahan antara agama dengan urusan pemerintahan. Ia fahaman yang cuba mengurangkan atau menghilangkan terus keterikatan urusan pemerintahan dengan panduan agama.
Mereka menganggap aturan Allah itu tidak adil sedang Allah Maha Suci daripada segala sifat kelemahan dan kekurangan. Maka lahirlah slogan demokrasi purba seperti ‘suara rakyat suara tuhan’ atau ‘suara rakyat suara keramat’, mengangkat makhluk yang lemah mengatasi firman Allah yang Maha Berkuasa.
Penyakit sekular juga melahirkan manusia yang bermudah-mudah dalam urusan pemerintahan. Tidak memandang serius kewajiban mengangkat pemimpin Islam yang bertaqwa, bersedia melaksanakan tuntutan Al Quran dan As Sunnah dalam politik pemerintahan termasuk dalam urusan ekonomi, kehakiman, perundangan, pendidikan serta segenap aspek kehidupan manusia seperti yang ditunjukkan tauladannya oleh Rasulullah SAW.
Lebih malang apabila para cerdik pandai Islam tersasar membincangkan keutamaan yang menjadi penyakit umat hari ini. Berdebat pada perkara istilah hingga meninggalkan perkara asas. Akhirnya umat yang keliru terus keliru menyangka benar-benar Islam itu tidak ada kaitannya dengan politik seperti diajar sekularis.
Nabi-nabi terdahulu berpolitik. Rasulullah SAW juga berpolitik dengan panduan agama yakni Islam. Fakta itu sudah cukup meruntuhkan fahaman sekularisme bahawa tidak ada panduan Islam dalam politik. Pegangan sesat yang tidak boleh ada dalam diri dan pemikiran setiap muslim beriman kepada Allah dan Rasul.
Umat Islam wajib menentang ideologi sekularisme yang salah dan zalim ini. Termasuk menentang parti politik yang membawa agenda mengsekularkan negara ini seperti DAP dan pewala-pewala mereka. Menentang sekularisme tidak bermaksud umat Islam itu taksub atau rasis, namun ia adalah perkara yang wajib dilakukan untuk mempertahan akidah umat dari kegelinciran yang nyata kerana politik sekular jelas bercanggah dengan akidah Islam.
NURHAFIZUL BADRUL HISHAM
Kampung Perak Batu Kurau – HARAKAHDAILY 29/5/2025











