Malaysia perlukan budaya politik baharu – Afnan

- Advertisement -

PELETAKAN jawatan YB Rafizi dan YB Nik Nazmi hari ini, mungkin sudah diduga oleh banyak pihak. Ke mana hala tuju mereka berdua selepas ini, sama ada masuk Keluar Sekejap, ataupun buat podcast baru ‘Keluar Tak Masuk Dah’, tidaklah ianya dapat diketahui.

Ke mana mereka nak pergi, itu hak mereka. Yang hendak dibangkitkan ialah mengenai kaitan pergolakan dalaman parti dengan peletakan jawatan sebagai Menteri. Secara amalannya, mereka dilantik menjadi Menteri atas kapasiti jawatan dalam parti. Hilang jawatan parti, maka hilanglah jawatan Menteri. Itulah adat resam turun temurun politik yang dipaparkan selama ini.

Tahukah kita bahawa sidang Parlimen yang akan datang sepatutnya bermula pada 23 Jun 2025 selama lebih kurang sebulan. Agenda utamanya ialah untuk membahaskan RMK-13 (Rancangan Malaysia Ke-13) – dibentangkan setiap lima tahun. Biasanya, Kementerian Ekonomi yang jadi tulang belakang kepada RMK ini. Tiba-tiba hari ini Menteri Ekonomi letak jawatan. Patutlah diumumkan sidang Parlimen tangguh kepada tarikh baru, 21 Julai 2025. Hampir satu bulan tangguh! Rupa-rupanya sebab pergolakan politik dalaman parti yang jadi Kerajaan.

- Advertisement -

Persoalannya, wajarkah pergolakan dalaman sesebuah parti politik, menyebabkan perancangan pembangunan negara tergendala? Rakyat menjadi mangsa? Sampai bila semua ini perlu berlaku?

Malaysia sudah perlu beralih kepada budaya politik baharu yang lebih matang dan profesional. Politik berasaskan kepartian semata-mata perlu digantikan dengan politik berasaskan prinsip dan profesionalisma seseorang. Secara lebih spesifik, pelantikan untuk sesuatu jawatan Kabinet, atau pentadbir, atau apa-apa jawatan eksekutif (pelaksana), hendaklah berasaskan kepada prinsip dan tahap profesionalisma seseorang. Jika kebetulan seorang yang ada prinsip dan profesionalisma itu adalah juga merupakan ahli politik, tak jadi masalah. Yang penting, dia ada kepandaian, kebijakan, amanah jujur (bukan Parti Amanah), dan ada kemampuan. Tapi kalau hanya pandai ulang janji, atau hanya pandai memasak sahaja, tak jadi.

Prinsip yang dimaksudkan ialah prinsip-prinsip yang menepati kehendak Al-Quran dan Al-Sunnah serta nilai-nilai baik yang sedia ada di dalam masyarakat. Jika prinsip itu hanya berpandu kepada akal semata-mata, bercanggah dengan kehendak Allah, itu prinsip yang salah. Jika ikut hukum akal, maka huru-haralah dunia kerana banyaknya akal. Tapi jika ikut hukum Allah, akan jadi aman makmur tidak bercanggah, kerana Allah hanya ada satu sahaja, Yang Esa.

Profesionalisme pula merujuk kepada sikap dan kaedah berfikir seseorang. Ia bukan hanya merujuk kepada sesuatu bidang pengajian semata-mata, tetapi turut merujuk jenis mentaliti, cara berfikir, cara membuat keputusan. Jika seseorang itu berfikir, menganalisis, membuat keputusan dan bertindak dengan penuh kejujuran, keikhlasan, berdasarkan kepada keilmuan dan kemahiran yang dimiliki, bersandarkan kepada prinsip yang dinyatakan tadi, maka ia bolehlah dianggap profesional yang mempunyai profesionalisma. Tidak semua yang profesional itu memiliki profesionalisma. Almarhum Prof Khazani Abdullah (‘arkitek’ PAS) pernah menyebutkan tentang perkara ini.

Keanggotan Kabinet Malaysia yang terdiri daripada profesional yang mempunyai profesionalisma ini pernah dilontarkan oleh YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS sebelum ini. Beliau menamakannya sebagai Kerajaan Teknokrat. Nak pakai nama yang sama, atau nak pakai nama yang lain, terpulanglah. Tetapi itulah asasnya. Kemelut dalaman sesebuah parti politik mestilah dijarakkan sejauh yang mungkin dengan pentadbiran sesebuah Kerajaan. Hal parti adalah hal parti. Jangan dibawa masuk dicampur-aduk dalam hal pentadbiran Kerajaan. Jadi terencat perjalanan sesebuah Kerajaan jika dicampur-aduk dengan hal dalaman parti. Ibarat bawa hal rumah tangga masuk ke pejabat. Habis semua orang dipecatnya, sebab nak bawa masuk anaknya ke pejabat.

Timbul pula soalan, habis tu, yang PAS lantik sebelum ini, macam mana? Kenapa masa kuasa tak nak buat? Kenapa sekarang baru nak cakap. Seperti yang dikatakan sebelum ini, budaya politik baru ini perlu dilaksanakan oleh semua pihak, termasuk PAS. Bahkan PAS di Kedah telah mula mempamerkan contoh apabila YAB Dato’ Seri Sanusi mencadangkan seorang tokoh teknokrat yang baru menyertai politik dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri, iaitu YB (Prof) Dr Haim Hilman Abdullah. YB Dr Haim bukanlah orang yang ada jawatan tinggi di dalam hierarki parti sebelum ini. Namun, bersandarkan kepada profesionalisme beliau, beliau dilantik untuk bersama dalam pasukan YAB MB, membangunkan negeri Kedah. Begitu juga dengan YB Baddrol Bakhtiar (BB7), tokoh bola sepak yang tidak perlu diperkenalkan lagi, dinamakan sebagai calon pilihan raya yang akhirnya menang dengan majoriti besar. Bahkan kini YB BB7 diberi amanah pula mengetuai Dewan Pemuda PAS Kawasan Jerai sebagai Ketua Pemuda. Pelantikan mereka berdua memang memberi impak positif kepada rakyat Kedah secara amnya dan kepada politik PAS khususnya.

PAS di Kedah telah memulakan budaya politik yang baharu ini. Bukan hanya mereka berdua sahaja mempunyai profesionalisme yang dimaksudkan, bahkan ramai lagi tokoh-tokoh PAS di Kedah dan di Malaysia memiliki profesionalisme tersebut. Bahkan, ada yang baru dikenali setelah pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Mereka bekerja ikhlas tanpa memburu kedudukan dan pangkat. Tidak dikenali di bumi, namun masyhur di langit.

Sebagai kesimpulan, parti-parti politik termasuk PAS, hanyalah sebagai alat. Alat untuk membangunkan negara dan memulihkan masyarakat. PAS hanya alat untuk melaksanakan suruhan Allah untuk memakmurkan bumi dan manusia di dalamnya. PAS juga sama seperti parti-parti politik lain, tidak terlepas dari melakukan silap. Yang tidak silap hanyalah Al-Quran dan Al-Sunnah sahaja. Sebab itu PAS dipandu oleh prinsip. Di dalam PAS, ada Majlis Syura Ulama (MSU) untuk memandu prinsip tersebut supaya tidak bercanggah dengan dua rujukan utama tadi.

PAS perlu bergerak dengan cepat untuk mengetuai politik baharu ini iaitu pembudayaan profesionalisme yang dinyatakan sebelum ini. Dalam keadaan sebeginipun, keahlian PAS semakin bertambah setiap bulan. Bulan lepas sahaja, PAS Pusat telah meluluskan lebih 4,000 orang keahlian baru PAS termasuk ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (ahli bersekutu PAS).

Ibarat titisan embun pagi yang segar dan tulus, menunggu sinaran mentari memancarkan cahaya baru setiap permulaan hari, begitulah budaya politik baharu ini perlu dilihat. Budaya politik yang matang dan sejahtera. Matang dalam membuat keputusan. Hasilnya memberi kesejahteraan buat semua. Bukan hanya sejahtera untuk papa dan anak papa sahaja. YB Rafizi dan YB Nik Nazmi boleh jadi setuju dengan poin ini.

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Alor Setar – HARAKAHDAILY 28/5/2025

- Advertisement -