
PASIR MAS: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan tindakan kerajaan menarik balik subsidi gas memasak daripada golongan peniaga kecil dan sederhana sebagai satu bentuk ‘rompakan sah’ terhadap rakyat.
Menurutnya, langkah yang berkuat kuasa 1 Mei lalu itu mencerminkan keangkuhan Kerajaan Madani yang semakin hilang kepekaan terhadap kesengsaraan rakyat.
Beliau berkata, pengusaha makanan dan perniagaan kecil kini dipaksa beralih kepada penggunaan tong gas komersial 14kg berharga RM70 menggantikan tong bersubsidi berharga RM26.60.
Ini, ujarnya, bermakna peningkatan kos lebih 160 peratus – satu lonjakan yang dianggap keterlaluan dan membebankan.
“Dengan hanya menggunakan tiga tong sehari, seorang peniaga perlu menanggung kos lebih RM6,000 sebulan hanya untuk gas. Sebelum ini mereka hanya belanja sekitar RM2,300.
“Kenaikan hampir RM4,000 ini bukan rekaan, ini matematik mudah yang tak perlu pun pakar ekonomi untuk memahaminya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ahmad Fadhli menegaskan bahawa kerajaan bukan sahaja gagal menyediakan pelan peralihan yang adil atau sebarang bantuan sokongan, tetapi terus menekan peniaga dengan dasar yang dilaksana tanpa perbincangan terbuka.
Beliau turut mempersoalkan ke mana perginya semangat reformasi dan janji-janji rakyat didahulukan yang sering dilaungkan sebelum ini.
“Adakah ini wajah sebenar Madani? Menindas penjaja kecil di lorong-lorong belakang, sedangkan kroni terus bergelumang dalam projek-projek mega? Sungguh memalukan,” tegasnya lagi.
Tambah beliau, langkah ini bakal melonjakkan harga makanan, meruntuhkan kuasa beli rakyat, dan menamatkan riwayat ramai peniaga kecil.
Menurutnya, nasi ayam yang kini dijual pada harga RM9 mungkin terpaksa dinaikkan kepada RM11, manakala kuih-muih yang selama ini kekal 50 sen sekeping mungkin terpaksa dijual pada harga tiga kali ganda.
Ahmad Fadhli turut menolak hujah dangkal kerajaan bahawa langkah ini hanya menyasarkan peniaga, bukan rakyat biasa, tetapi apabila peniaga terpaksa menanggung lonjakan kos mendadak, harga jualan pasti naik dan akhirnya pengguna yang terbeban.
“Bila kos meningkat RM4,000 sebulan, adakah peniaga akan kekal jual dengan harga lama? Sudah tentu tidak. Maka rakyatlah akhirnya yang menanggung,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau mendesak kerajaan agar menarik balik keputusan itu serta-merta, menghentikan tekanan terhadap peniaga kecil, membentangkan pelan subsidi bersasar yang telus dan memberi tempoh transisi minimum selama 12 bulan sebelum sebarang pelaksanaan.
Sekiranya kerajaan terus berdegil dan pekak terhadap suara rakyat, ujarnya, maka rakyat berhak menolak mereka dalam pilihan raya akan datang.
“Reformasi yang dilaungkan telah bertukar menjadi reformoney – memperkaya kroni, memiskinkan rakyat. Ini bukan pentadbiran, ini rompakan gaya moden. Lebih tepat lagi, Rompakan Madani,” tegas beliau.











