Cara beri salam ketika ziarah kubur

- Advertisement -

Soalan:

Ketika ziarah kubur adakah boleh kita beri salam kepada kubur dengan ucapan salam yang biasa kita ucap kepada orang yang hidup iaitu السلام عليكم ورحمة الله وبركاته atau mesti dengan salam yang khas?

- Advertisement -

Jawapan:

Disunatkan ke atas orang yang ziarah tanah perkuburan beri salam kepada penghuni kubur dan yang afdhal ialah dengan lafaz salam yang datang dalam hadis-hadis Nabi sollalahu alaihi wasallam seperti:

السَّلاَمُ عَلَى أهْلِ الدِّيَارِ مِنَ المُؤْمنِيْنَ وَالمُسْلِمِيْنَ

Ertinya: “Salam sejahtera atas sekalian kamu penduduk negeri akhirat dari para mukminin dan muslimin.”

Atau:

السَّلاَمُ علَيْكُمْ يَا أهْلَ القُبُورِ، يَغْفِرُ اللهُ لَنا وَلَكُمْ

Ertinya: “Salam sejahtera atas sekelian kamu wahai penghuni kubur semoga Allah mengampunkan kami dan kamu semua.”
Tetapi jika diberi salam dengan ucapan السلام عليكم atau السلام عليكم ورحمة الله وبركاته maka hukumnya adalah harus dan memadai.

Berkata Imam Nawawi:

قال أصحابنا: ويستحب للزائر أن يسلم على المقابر ويدعو لمن يزوره ولجميع أهل المقبر، والأفضل أن يكون السلام والدعاء بما يثبت في الحديث، ويستحب أن يقرأ من القرآن ما تيسر، ويدعو لهم عقبها، نص عليه الشافعي واتفق عليه الأصحاب

Ertinya: “Telah berkata oleh Ashab kami: Disunatkan bagi yang ziarah kubur bahawa mengucap salam olehnya atas sekalian kubur dan berdoa bagi siapa yang dia ziarahi dan bagi sekelian penghuni kubur. Dan yang afdal bahawa adalah ucapan salam dan doanya itu dengan yang sabit di dalam hadis. Dan disunatkan membaca olehnya akan Al-Quran daripada apa yang mudah dan berdoa bagi mereka selepasnya. Telah menaskan atasnya oleh Imam Syafie r.a. dan telah sepakat atasnya oleh Ashab.” (Kitab Al-Majmuk)

Kesimpulannya, harus orang yang ziarah kubur itu beri salam seperti salam sesama orang yang hidup seperti السَّلاَمُ علَيْكُمْ sahaja akan tetapi yang afdal ialah dengan ucapan salam yang datang di dalam hadis.

Wallahua’alam. – HARAKAHDAILY 29/5/2025

- Advertisement -