
SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor memperkukuh saf kepimpinannya apabila 12 daripada 22 Ketua Pemuda Kawasan di negeri itu kini diterajui oleh muka baharu, majoritinya terdiri daripada anak muda berusia antara 24 hingga 29 tahun.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketuanya, Ustaz Mohamed Sukri Omar yang mempengerusikan Mesyuarat Penuh Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersama seluruh kepimpinan kawasan yang mewakili denyut nadi perjuangan anak muda Islam di negeri itu, kelmarin.
“Barisan ini bukan calang-calang. Ada jurutera, akauntan bertauliah, arkitek, peguam, peguam syarie, guru, asatizah dan lain-lain. Semua bersatu di bawah panji perjuangan Islam untuk membina masa depan negara dan umat.
“Kombinasi pengalaman dan tenaga muda inilah yang akan menjadikan Dewan Pemuda PAS Selangor terus energetik, progresif dan strategik, insya-Allah,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook semalam.

Tambah beliau, mesyuarat itu bukan sekadar pertemuan biasa, tetapi membawa misi besar untuk menyusun kekuatan pemuda Islam, menyambung rantai perjuangan generasi terdahulu serta mengisi kemenangan Islam dengan persiapan rapi dan kesatuan amal.
“Doakan agar seluruh saf kepimpinan ini terus istiqamah dan thabat, menjadikan tarbiyyah, amal dan dakwah sebagai paksi perjuangan. Bukan untuk nama, bukan untuk jawatan, tapi kerana Allah.
“Kita bukan sekadar mahu menang, kita mahu menang dengan penuh wibawa. Bukan gah di pentas, tapi teguh di medan,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/5/2025











