
PENGKALAN CHEPA: Barisan kepimpinan Dewan Pemuda PAS Kawasan Pengkalan Chepa (DPPPC) perlu sentiasa yakin dengan kebenaran perjuangan PAS.
Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa, Datuk Dr Izani Husin berkata, keyakinan terhadap perjuangan itu akan memacu kesungguhan dan keikhlasan dalam setiap gerak kerja yang dilakukan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan dan Keraian Mantan Ahli Jawatankuasa DPPPC kelmarin.
Menurutnya, pemuda perlu memiliki lima sifat utama dalam memastikan kelangsungan gerak kerja yang berkesan.
Antaranya ialah kemahuan, kebolehan, strategi, konsistensi dan komitmen.
“Gerak kerja mesti dilakukan dengan penuh kesungguhan, tingkatkan kebolehan diri dari semasa ke semasa dan rancang dengan bijak dan berkesan.
“Jangan malas kerana perjuangan menuntut pengorbanan dan istiqamah dalam medan dakwah dan tarbiah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berpesan agar pemuda bersedia memimpin dan membuktikan kemampuan diri sehingga diyakini oleh golongan lebih tua.
Turut hadir dalam majlis itu barisan kepimpinan PAS Kawasan Pengkalan Chepa, mantan Ahli Jawatankuasa DPPPC dan ahli-ahli PAS kawasan. – HARAKAHDAILY 29/5/2025











