
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden membidas keputusan Kerajaan Madani yang melarang peniaga kecil menggunakan tong gas LPG bersubsidi, menyifatkannya sebagai menekan rakyat dan tidak masuk akal.
Beliau berkata, rakyat tidak boleh menerima langsung keputusan kerajaan yang mahu melarang peniaga kecil menggunakan tong gas LPG bersubsidi berharga RM26, sebaliknya dipaksa menggunakan tong gas komersial berwarna ungu yang mencecah hampir RM70 seunit.
“Tiga kali ganda beb!” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar dan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana Malaysia yang merupakan antara lima negara pengeksport gas asli cecair (LNG) terbesar dunia selepas Rusia, Qatar, Australia dan Amerika Syarikat, namun rakyat sendiri tidak dapat merasai nikmat hasil bumi negara.
“Apa cerita ni?” soalnya sambil menambah bahawa, arahan kerajaan yang mewajibkan permohonan permit jika menggunakan lebih daripada tiga tong sebulan juga dilihat menyusahkan.
“Bukannya semua peniaga mampu ikut prosedur pelik-pelik macam ni. Ini bukan je menyakitkan hati peniaga kecil, tapi akan buat harga makanan, servis dan benda lain pun naik. Siapa yang susah? Rakyat juga!” tegasnya.
Jelasnya lagi, perkara itu bertentangan dengan konsep ‘Keadilan Sosial’ yang dicanangkan oleh kerajaan.
“Kami nampak benda ni sebagai satu bentuk penindasan ekonomi terhadap rakyat marhaen. Orang atas boleh hidup selesa dengan segala kemudahan, tapi rakyat biasa terpaksa bayar lebih untuk guna benda asas yang datang dari negara sendiri. Logik tak?” persoalnya.
Sehubungan itu, beliau dalam kenyataan tersebut membuat tiga desakan kepada kerajaan iaitu pertamanya menarik balik larangan guna tong gas subsidi untuk peniaga kecil.
“Keduanya, kerajaan perlu mengekalkan sistem subsidi untuk mereka yang betul-betul perlukan. Ketiga, kerajaan perlu agihkan hasil kekayaan negara dengan adil – rakyat pun berhak rasa hasil titik peluh negara sendiri,” gesanya.
Beliau turut memberi peringatan kepada kerajaan supaya tidak terus membebankan rakyat dengan keputusan-keputusan yang membebankan.
“Cukuplah asyik tambah beban rakyat. Jangan jadikan orang bawah ni mangsa keputusan-keputusan pelik dari atas sana,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/5/2025











