Disiplin tinggi pendorong TGHH hebat berkarya

Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu memastikan adanya objektif dan motivasi dalam hidup bagi membolehkan mereka menjadi seorang yang berdisiplin dan berjaya dalam kehidupan, kata Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

- Advertisement -

Mengulas mengenai cara Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam menulis buku, beliau menyifatkan perkara berkenaan memainkan peranan penting dalam memastikan Tuan Guru dapat menghasilkan karya-karya ilmiahnya.

“Bagi seorang askar, mereka ada tugas dia. Sebahagian daripada karier dia dan sebagainya. Sebagai seorang komando umpamanya, dia ada lebih daripada itu lagi.

“Bagi Tuan Guru, saya lihat disiplin yang mampu dilaksanakan oleh beliau dalam bidang ilmu adalah kerana dia melihat apakah peranan dia sebagai khalifah di atas muka bumi untuk menyampaikan ilmu.

“Seperti apa yang kita sebut kepada Tuan Guru sekarang adalah sebagai murabbi ummah. Bagaimana beliau merasakan bahawa tugas itu tugas yang berterusan daripada waktu kita sedar sampai kita menemui Allah SWT.

“Itulah yang menjadi motivasi dan penyebab kenapa beliau sangat berdisiplin dalam mendalami ilmu dan menulis kerana beliau lihat apa yang disampaikan kepada masyarakat, ia adalah merupakan satu bentuk kebajikan dan pahala yang berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi sembang santai yang dikendalikan oleh penyampai radio Zayan FM, Anas Tahir bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.

Tambah Naib Presiden PAS itu, Tuan Guru Abdul Hadi merupakan antara agamawan terawal yang dikenalinya menggunakan komputer bagi merangka dan menulis segala maklumat dan pengisian dalam menulis sesebuah buku.

“Tuan Guru adalah orang yang paling awal ada komputer dan beliau ada pembimbing khas yang mahir dan mengajar beliau cara menggunakan komputer. Memanglah sebelum ada komputer, beliau menulis (tangan), kemudian pergi kepada ‘typewriter’ dan sebagainya.

“Tapi pada zaman sekarang ini, saya lihat semua butiran-butiran dan ilham-ilham yang ada dalam benak fikiran Tuan Guru terus dimasukkan ke dalam komputer. Sebab itu komputer ataupun ‘notebook’ sentiasa ada di sebelah beliau,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, beliau turut berkesempatan untuk melancarkan buku ‘Beriman Kepada Allah’, salah satu daripada tujuh buku di dalam Ensiklopedia Aqidah Muslimin karya Tuan Guru terbitan Pustaka Permata Ummah.

Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang setakat ini telah menghasilkan lebih 100 buku diterbitkan pelbagai pihak, selain banyak makalah dan kertas kerja pembentangan. – HARAKAHDAILY 29/5/2025

- Advertisement -