Mas Ermieyati tidak gentar diugut saman

Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mahu menggunakan khidmat peguam agensi bagi tujuan saman individu secara peribadi merupakan perkara yang menyeleweng daripada tanggungjawab asal peguam agensi.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, tindakan itu dilihat menyalahgunakan sumber institusi awam bagi kepentingan politik individu.

“Ini bukan soal ego politik, ini soal nasib anak bangsa. Janganlah digunakan duit rakyat untuk tutup suara rakyat pula. Saya tidak akan sesekali gentar dengan ugutan saman seperti ini.

“Saya akan terus bersuara demi anak-anak Bumiputera, demi pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), demi rakyat Malaysia dan negara tercinta. Saya serahkan hal ini kepada proses undang-undang.

“Saya sedia hadapi dimana-mana medan termasuk di mahkamah, jika itu pilihannya, demi Malaysia yang saya cintai. MARA milik rakyat, bukan warisan peribadi. Jangan bunuh suara rakyat semata-mata ia tidak menyenangkan,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) berkata, Asyraf Wajdi sepatutnya menjawab kritikan terbuka mengenai kelewatan dan kelemahan pinjaman TVET di bawah agensi itu dengan mengemukakan fakta dan bukan saman.

Mas yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, kritikan tersebut merupakan suara rakyat dan sekiranya beliau merasakan ia satu fitnah, maka sewajarnya dijawab dengan fakta.

“Ini adalah sebahagian daripada mesej-mesej dan aduan-aduan yang dikemukakan oleh rakyat kepada saya terutama ibu bapa serta para pelajar yang kecewa dengan ketidaktentuan masa depan pendidikan mereka.

“Saya suarakan sebagai Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat dan yang diberi amanah oleh rakyat. Jika Asyraf merasakan suara rakyat ini merupakan satu fitnah, beliau sepatutnya menjawab dengan mengemukakan fakta-fakta.

“Bukannya dengan ugutan saman. Ingin diingatkan bahawa MARA adalah institusi rakyat,” katanya.

Terdahulu, Mas Ermieyati membuat kritikan secara terbuka terhadap MARA berhubung pinjaman TVET di bawah agensi berkenaan dan ia mendapat maklum balas Asyraf Wajdi.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati turut meminta Asyraf Wajdi menjawab persoalan-persoalan rakyat yang disenaraikannya.

“Adakah permohonan pinjaman pelajaran bagi pengambilan pelajar Mac 2025 secara dalam talian masih belum dibuka? Kenapa dan bilakah permohonan akan dibuka kembali?

“Bilakah MARA akan menyelesaikan isu pinjaman pelajar TVET Mara? Benarkah tiada bantuan Program Penajaan Pengajian Tertiari (TESP) bagi tahun ini?

“Adakah perbelanjaan jelajah seluruh negara dan luar negara oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan atau rombongan menggunakan dana awam?

“Jika benar, berapakah jumlahnya dan siapa ahli rombongan yang mengikutinya?” soalnya lagi. – HARAKAHDAILY 29/5/2025

- Advertisement -