
KUALA LUMPUR: Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menzahirkan kebimbangan dan membantah keras kandungan dokumen bertajuk ‘Advisory Paper to the Chair of ASEAN 2025 – Malaysia’ yang dikemukakan oleh gabungan Civil Society Organizations (CSO) ASEAN.
Timbalan Pengerusinya, Ustaz Shuhaib Ar-rumy Selamat berkata, dokumen itu mengandungi cadangan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, nilai-nilai Islam, serta kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera yang dijamin undang-undang.
“Antara kandungan yang sangat membimbangkan ialah cadangan untuk memisahkan agama daripada negara, pelaksanaan undang-undang antidiskriminasi LGBTQIA+, ratifikasi semula ICERD, serta pelonggaran dasar kewarganegaraan secara automatik tanpa tapisan.
“Kesemua ini merupakan bentuk ancaman terhadap asas kenegaraan dan peruntukan utama dalam Perlembagaan,” ujarnya mewakili gabungan lebih 120 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di seluruh negara itu.
Mengulas lanjut, Shuhaib berkata Seksyen 3.2 dokumen terbabit mengandungi cadangan supaya ‘Ensure separation of religion and state…’ yang disifatkannya bertentangan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Ini adalah usaha terselindung dan terancang yang mahu menukar identiti negara ke arah menjadi sebuah negara sekular yang menafikan peranan Islam dalam pentadbiran kerajaan dan urusan kenegaraan,” dedahnya.
Beliau turut membidas Seksyen 3.13 yang menyarankan pelaksanaan undang-undang antidiskriminasi untuk LGBTQIA+, yang menurutnya bercanggah dengan hukum dan undang-undang Islam serta norma masyarakat Malaysia.
“Undang-undang syariah di negeri-negeri telah mengharamkan perlakuan liwat dan transgender. Mahkamah Persekutuan dalam penghakiman kes Sulaiman bin Takrib vs Kerajaan Negeri Terengganu telah mengesahkan bahawa ajaran yang bercanggah dengan agama Islam boleh dihadkan dan diharamkan,” ulasnya.
Tambahnya lagi, cadangan supaya Malaysia meratifikasi semula ICERD yang pernah ditolak secara besar-besaran oleh rakyat pada 2018, kini muncul kembali dalam Seksyen 3.5 dokumen tersebut.
“Usaha ini adalah satu bentuk pencabulan terhadap Perkara 153 Perlembagaan yang melindungi hak istimewa Melayu dan Bumiputera. Ia merupakan serangan langsung ke atas kontrak sosial yang menjadi asas pembentukan negara Malaysia,” terangnya.
Shuhaib juga menyatakan kebimbangan terhadap cadangan dalam Seksyen 3.7 yang mencadangkan kewarganegaraan automatik kepada setiap anak yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa warganegara Malaysia, tanpa mengira status perkahwinan atau tempat lahir.
“Ini bakal membuka pintu kepada kebanjiran kewarganegaraan tanpa tapisan dan akan melemahkan kedaulatan undang-undang negara,” tegasnya.
Sehubungan itu, PEMBELA katanya, menolak sebarang percubaan untuk membawa masuk prinsip hak asasi manusia berasaskan acuan Barat yang menurutnya tidak berpaksikan kepada Islam, budaya Melayu dan norma masyarakat Malaysia.
“Malaysia mempunyai kerangka hak asasi yang tersendiri yang dibina atas asas undang-undang Islam dan maqasid syariah,” jelasnya.
Ustaz Shuhaib turut menegaskan bahawa dokumen terbabit tidak mewakili suara majoriti rakyat Malaysia, sebaliknya mencerminkan suara sekolompok pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba memaksakan fahaman liberal mereka ke atas negara ini tanpa menghormati sejarah dan sensitiviti agama dan kaum yang ada.
PEMBELA, tegas beliau, menyeru kerajaan khususnya Perdana Menteri sebagai Pengerusi ASEAN 2025 agar menolak sekeras-kerasnya semua cadangan yang bercanggah dengan Islam dan Perlembagaan Persekutuan.
“Peranan Malaysia dalam ASEAN mesti berpaksikan kepada Islam sebagai agama negara dan kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera, tanpa menafikan hak agama dan kaum lain sebagai asas bagi keamanan yang kita nikmati pada hari ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru seluruh NGO Islam, tokoh masyarakat, ahli akademik dan umat Islam seluruh negara agar bersatu menyuarakan penolakan terhadap dokumen terbabit secara sah dan berhemah.
“(Ia adalah) demi mempertahankan maruah negara daripada anasir asing yang ingin merosakkan struktur masyarakat dan negara.
“Marilah kita bersatu mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat yang ditunjangi oleh Islam, keluhuran undang-undang, dan nilai-nilai murni yang diwarisi sejak dahulu lagi.
“Hanya dengan kesatuan kita dapat mengekalkan keharmonian dan kedaulatan yang dikurniakan Allah SWT kepada negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/5/2025











