Masa depan Umno-BN sempit bersama PKR, DAP?

PKR ketepikan Umno di Kelantan? DAP Melaka pula tuntut kerusi

- Advertisement -

SUBANG: Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir mempersoalkan kedudukan dan peranan Umno dalam strategi politik PKR di Kelantan.

- Advertisement -

Ia jelasnya, berikutan apabila kenyataan terbaru Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak langsung menyebut BN mahupun Umno dalam usaha menawan negeri itu.

Menurut Roslan, kenyataan Wan Azizah itu dibuat ketika beliau merasmikan suatu majlis hi-tea PKR Kelantan di Kota Bharu, namun tidak mendapat perhatian.

Ia katanya, memandangkan berlaku ketika kehangatan proses pemilihan PKR yang menyaksikan Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli kecundang mempertahankan kerusi Timbalan Presiden di tangan anak Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

“Kecundang Rafizi dan Nik Nazmi dalam pemilihan yang menurut Rafizi berlaku atas padang yang tidak sama rata. Lalu tiadalah yang ambil pusing kenyataan di KB (Kota Bharu) itu,” ujarnya dalam media sosial miliknya hari ini.

Roslan berkata, di Kota Bharu, Wan Azizah mendakwa partinya mempunyai potensi untuk menawan Kelantan melalui semangat dan komitmen anak muda dalam partinya.

“Tidak salah kenyataan beliau, ia harapan beliau, mampu tak mampu bukanlah beliau yang tentukan tetapi rakyat Kelantan dengan izin Allah SWT,” tegasnya.

Namun, beliau memetik rekod semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang kini menyaksikan Perikatan Nasional (PN) mempunyai 42 kerusi iaitu PAS 40 dan BERSATU dua.

Manakala tambahnya, pembangkang tiga, iaitu dua BN-Umno dan satu PAN, sementara PKR tidak mempunyai sebarang kerusi sama ada di DUN mahupun Parlimen di Kelantan.

“Kenyataan Wan Azizah ini mungkin mahu menyuntik semangat pada jenteranya di Kelantan agar jangan terus malap, tetapi PKR sahaja? Tak sebut PH. Tak sebut pun gabungan PH-BN?” katanya.

Roslan turut membangkitkan persoalan sama ada Kelantan kini menjadi ‘frontier target state’ atau negeri sasaran PKR tanpa perlu kepada BN-Umno, memandangkan parti itu langsung tidak disebut dalam kenyataan Dr Wan Azizah.

“Adakah Umno sudah tidak relevan di mata PKR di Kelantan? Umno baru sahaja menang kerusi DUN Nenggiri merampasnya dari PN-BERSATU dalam PRK di sana tapi PKR seakan tak hargainya langsung,” ulasnya.

Tambah beliau, selepas DAP di Melaka meminta BN menyerahkan separuh daripada 28 kerusi DUN negeri itu untuk ditandingi, kini di Kelantan pula PKR seakan mengetepikan Umno.

“Makin sempit masa depan BN-Umno sejak berkawan dengan PKR dan DAP nampaknya, macam mana sahabat?” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 29/5/2025

- Advertisement -