
KUALA LUMPUR: Tindakan menularkan gambar dan mesej peribadi berkait isu kecurangan tanpa sebarang tapisan dianggap sebagai tidak beretika dan memberi kesan besar kepada pihak yang tidak bersalah, termasuk keluarga dan tempat kerja.
Pendakwah, Ustazah Asmak Husin berkata, perbuatan itu bukan sahaja membuka aib individu terlibat, tetapi turut mencemarkan institusi lain yang berkait rapat dengan mereka.
“Buat wanita yang diuji dengan kecurangan suami, saya mengulas ini dengan hati berat. Bukan kerana ingin menyebelahi mana-mana pihak, tetapi kerana saya melihat luka batin yang makin parah apabila emosi mengatasi iman.
“Saya tahu, bukan mudah untuk menerima hakikat suami yang kita percaya, kita jaga makan pakainya, akhirnya mengkhianati amanah itu. Tambah pedih bila pengkhianatan itu berlaku dengan wanita lain, seorang guru pula itu.
“Tapi dalam kes curang ‘wiring dan cikgu sekolah’ yang tular, saya tidak setuju gambar dan mesej disebar tanpa tapisan hingga nama sekolah dan keluarga terpalit,” katanya menerusi kenyataan.
Asmak berkata, satu kesilapan menekan butang ‘kongsi’ dalam dunia digital hari ini boleh membawa kesan jangka panjang.
“Sebagai wanita, isteri dan hamba Allah, kita punya maruah dan martabat. Menularkan aib orang lain bukanlah kekuatan, ia adalah tindak balas dari hati yang sedang luka yang tak sempat ditenangkan oleh iman.
“Mari kita berdoa semoga setiap kita yang diuji Allah kurniakan kebijaksanaan dan ketenangan. Tak kena bolehlah cakap,” katanya yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Insan dan Kerukunan Keluarga Dewan Muslimat PAS Malaysia
Beliau menasihatkan agar tindakan lebih berhemah diambil, termasuk menyemak kesahihan dakwaan sebelum menyebarkan ke mana-mana platform.
“Ada jalan lebih bijak, lebih beradab, lebih berani. Jika benar berlaku sahkan kebenaran. Jangan bertindak atas spekulasi atau cebisan gambar.
“Laporkan secara rasmi ke pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), mahkamah syariah atau jabatan agama. Cari sistem sokongan seperti sahabat, kaunselor, ustazah atau badan bukan kerajaan (NGO) wanita.
“Rancang tindakan dengan tenang kerana maruah kita bukan diukur dari amarah kita, tapi dari hikmah cara kita menghadapinya,” katanya.
Beliau juga mengingatkan bahawa maruah seseorang tidak seharusnya menjadi bahan tontonan umum hanya kerana kemarahan yang tidak terkawal.
“Kita wanita. Kita punya harga diri. Tindakan tenang itu lebih mulia dari viral yang menghina. Kita lindungi diri kita dahulu.
“Kita tidak mahu anak-anak dan keluarga membaca semula kisah ini dalam bentuk Google Cache walaupun bertahun telah berlalu. Semoga Allah sembuhkan hati yang diuji,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial dengan penularan kes melibatkan seorang guru wanita yang menjalinkan hubungan dengan lelaki berstatus suami orang.
Perkara itu mencetuskan perhatian ramai selepas tular beberapa tangkap layar perbualan WhatsApp yang dipercayai antara kedua-dua individu terbabit.
Lebih membimbangkan, turut tersebar secara meluas adalah video konfrontasi dan gambar wajah wanita itu, sehingga menimbulkan kebimbangan tentang pencabulan privasi dan penyebaran aib di ruang awam. – HARAKAHDAILY 28/5/2025











