Penyasaran subsidi petrol kabur, rakyat makin tertekan

Syahir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hasrat kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol pada separuh kedua 2025 masih dibayangi ‘kesamaran’, khususnya dalam aspek penentuan kelayakan, kesediaan pangkalan data (PADU) dan keupayaan sistem pengesahan (MyKad).

- Advertisement -

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, kecekapan tanpa keberkesanan dan keadilan hanya akan menambah tekanan kepada rakyat, walaupun subsidi bersasar dianggap lebih efisien.

“Subsidi petrol bukan semata-mata soal harga bahan api, tetapi turut berkait rapat dengan kos sara hidup, kos pengangkutan, dan daya tahan ekonomi isi rumah.

“Soalnya, bagaimana kerajaan menentukan siapa yang layak dan tidak layak? Kategori B40 dan M40 tidak lagi mencerminkan beban sebenar yang ditanggung rakyat, di bandar mahupun luar bandar.

“Malah siapakah golongan T20, T15, dan terkini T5, ‘mahakaya’ yang dimaksudkan Perdana Menteri yang sehingga kini masih belum dimuktamadkan?” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, perhatian perlu diberikan terhadap kesan ekonomi berantai, di mana kenaikan harga petrol dan diesel akan melonjakkan kos pengangkutan, harga barangan dan makanan harian.

“Apakah kerajaan telah menjalankan kajian impak menyeluruh terhadap kesan dasar ini ke atas rantaian ekonomi dan kehidupan rakyat? Ini belum mengambil kira impak tarif baharu Amerika Syarikat yang boleh menjejaskan ekonomi tempatan.

“Walaupun ramai ahli parlimen kerajaan mahupun pembangkang meminta agar penyasaran subsidi petrol ditangguhkan dalam sidang khas Dewan Rakyat tempoh hari,” ujarnya.

Mohd Syahir turut mempersoalkan kenyataan Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berhubung penggunaan MyKad bagi mendapatkan petrol RON95 bersubsidi, dengan mekanisma harga dua peringkat baru-baru ini.

“Adakah semua stesen minyak terutama di luar bandar sudah dilengkapi infrastruktur digital yang diperlukan? Apakah jaminan sistem verifikasi ini dapat berfungsi dengan lancar dan tidak menyusahkan atau melambatkan pengguna?

“Dasar seperti ini seharusnya dimulakan dengan projek rintis di beberapa kawasan terpilih. Ini penting bagi menguji kecekapan sistem, mengenal pasti kelemahan pelaksanaan, dan mendapatkan maklum balas langsung daripada rakyat dan pengusaha stesen minyak,” tambahnya.

Justeru katanya, penyasaran subsidi tidak boleh dilihat semata-mata dari lensa fiskal, tetapi ia mesti dinilai secara menyeluruh dari sudut impak kepada rakyat, kecekapan pelaksanaan, dan ketelusan dasar.

“Malah ramai ahli akademik dan pakar ekonomi menggesa kerajaan untuk menyampaikan maklumat yang tepat bagi mengelak sebarang spekulasi terhadap dasar ini.

“Tanpa ketelusan, kesediaan dan keberkesanan, dikhuatiri penyasaran subsidi petrol akan menjadi suatu lagi projek Madani yang tersasar; bukan sekadar dari segi pelaksanaan, tetapi dari segi kepercayaan rakyat yang makin terhakis,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/5/2025

- Advertisement -