Rafizi sah letak jawatan Menteri Ekonomi

Ir Ts Nurul Islam
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli yang tewas dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) pagi tadi.

- Advertisement -

Pengarah Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, beliau mempersoalkan sama ada pejabat Perdana Menteri tidak dimaklumkan mengenai perkara itu dan menyindir reaksi ‘terkejut’ yang dipamerkan oleh Perdana Menteri.

“Pagi tadi dia dah hantar surat kat PMX. Tidak ada pegawai PMX yang bagitahu ke? Tak perlu buat-buat terkejut eh,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, sebentar tadi.

Terdahulu, pengamal media yang hadir ke Majlis Penutupan Persidangan Juruaudit ASEAN 2025, Putrajaya sempat bertanyakan kepada Anwar sama ada Rafizi akan letak jawatan atau tidak susulan kekalahan dalam pemilihan PKR baru-baru ini.

Sebaliknya, Anwar kembali menyoal para pemberita berhubung perkara tersebut, “Siapa beritahu (perletakan jawatan Rafizi)?”.

Nurul Islam berkata, Rafizi sudah memberi bayangan mengenai niatnya sejak program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) lagi, ekoran kekecewaan terhadap keputusan PMX lebih memilih anak sendiri untuk jawatan penting berbanding Rafizi.

“Dia sebut lama dah masa jelajah HIRUK lagi. Tapi PMX yang pilih anak sendiri daripada Rafizi Ramli. Dia merajuklah,” kata Nurul Islam.

Beliau mencadangkan agar tempat Rafizi digantikan dengan Naib Presiden PKR, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan yang dikatakan memiliki ‘kompetensi’ oleh Ketua Setiausaha PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dalam pada itu, Nurul Islam juga mengucapkan tahniah kepada Rafizi atas pendirian beliau yang berpegang kepada prinsip bahawa individu yang kalah dalam pilihan raya tidak wajar memegang jawatan dalam kerajaan.

Terdahulu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, menegaskan bahawa beliau sedia melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi jika gagal mempertahankan kerusi Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR pada 23 Mei lalu.

Bagaimanapun, Rafizi menjelaskan beliau akan kekal sebagai Ahli Parlimen kerana masih mahu memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Terkini, Rafizi mengesahkan telah menghantar sepucuk surat peletakan jawatan Menteri Ekonomi kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berkuat kuasa 17 Jun depan.

Rafizi berkata, langkah itu diambil sebagai menghormati prinsip kebertanggungjawaban dan mandat rakyat yang menjadi tunjang perjuangannya dalam politik sejak awal penglibatan.

“Surat peletakan jawatan telah dihantar kepada Perdana Menteri dan mulai hari ini, saya akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun,” katanya.

Rafizi mula dilantik sebagai Menteri Ekonomi pada 3 Disember 2022, selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan PKR baru-baru ini.

Rafizi meraih 3,866 undi manakala pencabarnya, Nurul Izzah memperoleh 9,803 undi. – HARAKAHDAILY 28/5/2025

- Advertisement -