Politik bukan perkara akidah?

- Advertisement -

APA MAKSUD politik itu bukan perkara akidah dan bukan perkara usul dalam agama?

Mari kita tinjau isu memilih kepimpinan, atau konsep politik, berdasarkan perspektif kefahaman firaq umat Islam terhadap politik secara komprehensif.

Dalam mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah, mengangkat imam yang adil (dari sudut syarak, bukan daripada parti yang bernama adil), hukumnya ialah wajib.

Wajib syar’i bermaksud, sekiranya umat tidak menaikkan pemimpin yang adil, maka hukumnya berdosa.

Merujuk kepada Matan Jauharat Tauhid, bait ke-130-131:

- Advertisement -

.وواجب نصب إمام عدل … بالشرع فاعلم لا بحكم العقل
فليس ركنا يعتقد في الدين … ولا تزغ عن أمره المبين

“Dan wajib mengangkat imam adil … Dengan Syarak, maka ketahuilah, bukan dengan hukum akal. Maka tidaklah ia menjadi rukun yang diiktiqadkan dalam agama … Dan jangan terpesong daripada perintahnya yang jelas.”

Prinsip Ahli Sunnah ini berkhilaf dengan Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah yang meletakkan sokongan terhadap imam yang telah ditetapkan oleh nas merupakan perkara rukun.

Bermakna, sekiranya tidak menyokong imam tersebut, ataupun menolak konsep imamah, hukumnya ia terkeluar daripada Islam sekiranya imamah dianggap menjadi sebahagian rukun Islam, ataupun terkeluar daripada iman sekiranya dianggap imamah itu sebahagian daripada rukun iman.

Ithna ‘Asyariyyah beriman wujudnya nas yang menetapkan nama-nama para Imam setiap individu yang berjumlah 12 orang.

Orang yang tidak beriman dengan nas tersebut, dianggap kafir oleh mereka kerana menolak nas.

Tetapi ulama Syiah Ithna Asyariyyah telah menyederhanakan maksud ‘takfir’ tersebut dengan meletakkan konteks kafir ialah terkeluar daripada golongan yang beriman dengan konsep imamah, meskipun dia masih lagi seorang Islam yang beriman dengan rukun Iman dan rukun Islam yang lain, yang mereka namakan sebagai golongan ‘ammah atau orang awam.

Gelaran ‘ammah ini dilabelkan kepada orang Islam secara umumnya yang tidak beriman dengan konsep imamah, seperti Ahli Sunnah.

Maksudnya, orang Islam yang tidak beriman dengan konsep imamah sebagai rukun Islam, dia masih lagi dianggap sebagai seorang Muslim tetapi Muslim yang bukan Syiah.

Timbul isu takfir Ithna Asyariyyah terhadap golongan Nawashib yang dikatakan mereka sebagai golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Perlu dibezakan antara golongan ‘ammah dengan golongan Nawashib.

Ahli Sunnah merupakan golongan yang memuliakan ahlilbait Rasulullah SAW.

Manakala golongan Nawashib ialah golongan yang memusuhi dan memerangi Ahlilbait.

Disebabkan oleh permusuhan Nawashib terhadap Ahlilbait maka mereka dimusuhi oleh golongan Syiah atau simpatisan Ahlilbait atas prinsip wala’ dan bara’.

Manakala menurut pandangan Zaidiyyah pula, Rasulullah SAW telah menetapkan ciri-ciri imam atau pemimpin bagi umat Islam tanpa menyebut nama secara spesifik.

Ciri-ciri tersebut ditafsirkan oleh Zaidiyyah berada pada zuriat keturunan Saidina Hasan dan Saidina Husain, ataupun ahlilbait Baginda SAW.

Tetapi sekiranya diangkat pemimpin yang baik, dalam keadaan wujudnya pemimpin yang lebih baik, hukumnya kepimpinan tersebut masih boleh diterima.

Ia dibahaskan dalam topik إمامة المفضول في وجود الأفضل.

Namun sekiranya diangkat pemimpin yang fasiq, maka wajib bagi umat untuk membuat amar ma’ruf nahy munkar bagi menjatuhkan pemimpin fasiq tersebut dan menaikkan pemimpin yang adil.

Maknanya, dari sudut kepimpinan imam ahlilbait atau imamah, Zaidiyyah lebih mendekati Ithna ‘Asyariyyah, kerana Ahli Sunnah beriman bahawa para imam adalah daripada Quraisy (الأئمة من قريش), tidak khusus kepada kepada ‘bathnain’ (keturunan Saidina Hasan dan Saidina Husain RA).

Tetapi dalam soal amar ma’ruf nahy munkar, Zaidiyyah sama seperti Khawarij yang mewajibkan khuruj terhadap pemimpin zalim.

Syiah Ithna Asyariyyah yang menolak khuruj bersama Imam Zaid, digelarkan sebagai ‘Rafidhah’.

Para Imam Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Syafie menyokong gerakan amar ma’ruf nahy munkar yang digerakkan oleh para Imam Zaidiyyah seperti Imam Zaid bin Ali dan Imam Muhammad bin Abdullah an-Nafs az-Zakiyyah.

Dalam mazhab Ahli Sunnah, sekiranya kepimpinan jatuh ke tangan orang fasiq, maka umat perlu bersabar dan bersikap pasif, tidak dibolehkan untuk melakukan ‘khuruj’. revolusi atau ‘thaurah’ selagimana pemimpin tersebut tidak melakukan kekufuran secara terang dan nyata.

Syiah Ithna ‘Asyariyyah beriman dengan wujudnya nas yang menetapkan nama-nama imam daripada keturunan Saidina Husain.

Tetapi dalam keadaan kepimpinan zahir umat Islam berada di tangan golongan fasiq maka Syiah seharusnya bersabar dan bersikap pasif sehingga munculnya Imam ke-12 iaitu al-Mahdi yang akan membawa keadilan kepada dunia setelah dipenuhi dengan kezaliman, yang pada pandangan Syiah Ithna ‘Asyariyyah, al-Mahdi sudah lahir tetapi berada dalam keadaan ghaib yang akan muncul semula pada akhir zaman.

Atas sebab itulah sebahagian ulama Syiah Ithna Asyariyyah tidak bersetuju dengan Revolusi Iran yang digerakkan oleh kumpulan Khomeini berdasarkan teori Wilayatul Faqih kerana bercanggah dengan prinsip politik Ithna Asyariyyah yang menantikan kedatangan ‘Imam Ghaib Muntazhar’.

Sebab itu ada pengkaji politik menyatakan bahawa Revolusi Iran lebih mendekati prinsip politik Zaidiyyah yang mewajibkan umat Islam dengan dipimpin oleh Imam Ahlilbait melakukan revolusi bagi menggulingkan sistem yang bercanggah dengan prinsip Islam.

Manakala Zaidiyyah pula menetapkan kepimpinan umat harus berada dalam 2 jalur sama ada daripada keturunan Saidina Hasan ataupun daripada keturunan Saidina Husain.

Tetapi sekiranya jatuh ke tangan selain 2 jalur tersebut, sekiranya pemimpin itu ‘mafdhul’ maka tidak perlu digerakkan revolusi amar ma’ruf nahy munkar.

Oleh sebab demikian, Zaidiyyah menerima kepimpinan Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, fasa pertama kepimpinan Saidina Uthman dan kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz, atas dasar penerimaan imamat al-mafdhul.

Sekiranya pemimpin itu fasiq maka wajib menggerakkan revolusi amar ma’ruf nahy munkar.

Dalam hal ‘khuruj’ atau melakukan revolusi terhadap pemerintahan yang zalim dan fasiq, Khawarij sama pandangan dengan Zaidiyyah.

Bezanya daripada sudut ciri-ciri pemimpin yang wajib diangkat, Zaidiyyah menetapkan mesti daripada jalur keturunan Saidina Hasan ataupun Saidina Husain.

Manakala Khawarij pula tidak mensyaratkan kepimpinan mesti daripada jalur ahlilbait seperti kefahaman Syiah, ataupun daripada keturunan Quraisy seperti kefahaman Ahli Sunnah.

Menurut kefahaman Khawarij, siapa sahaja daripada kalangan umat Islam boleh diangkat menjadi pemimpin, asalkan dia seorang yang adil dari sudut Syara’.

Secara praktikalnya pada zaman ini, umat Islam berpegang dengan fahaman Khawarij yang menetapkan kepimpinan umat boleh berada di tangan siapa sahaja dalam kalangan orang Islam yang bersifat adil, tidak semestinya daripada kaum Quraisy ataupun keturunan Saidina Hasan atau Saidina Husain RA.

Berbeza dengan Syiah Ithna Asyariyyah yang menetapkan imamah berada pada jalur keturunan Saidina Husain, terbatas pada 12 imam.

Ataupun Zaidiyyah yang menetapkan imamah pada jalur Saidina Hasan atau Saidina Husain, tidak boleh keluar daripada 2 jalur ini.

Ataupun Ahli Sunnah yang menetapkan imamah pada keturunan Quraisy, berdasarkan nas yang dinyatakan oleh Saidina Abu Bakar RA ketika mesyuarat di Saqifah Bani Sa’idah.

Manakala dalam kaedah memilih pemimpin, konsep amar ma’ruf nahy munkar berubah daripada menggunakan jalan perang yang menumpahkan darah bagi menaikkan kumpulan yang memimpin, kepada jalan demokrasi pilihan raya dengan menggunakan kaedah dakwah dan muwajahah silmiyyah, yang mudarat pertumpahan darah dapat dielakkan.

Sekiranya ditanya, apakah prinsip politik PAS?

Jawapannya perlu merujuk kepada Perlembagaan PAS, bukan daripada cakap-cakap orang ataupun ulasan pihak tidak diberikan autoriti untuk bercakap mewakili PAS.

Penubuhan PAS adalah demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi menegakkan al amr bil ma’ruf wan nahy ‘anil munkar dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Fasal 3: Dasar PAS ialah Islam.

Fasal 5: Tujuan PAS ialah:

(1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

(2) Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Antara usaha yang dilakukan, merujuk kepada Fasal 6 ialah:

(1) Menyeru umat manusia kepada syariat Allah dan sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

(2) Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syari’at serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke-Islaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

Apapun khilaf yang berlaku antara umat dalam soal penentuan kriteria kelayakan pemimpin dan kaedah memilih pemimpin, al-Quran telah meletakkan panduan memilih pemimpin yang perlu difahami oleh seluruh umat Islam, tanpa mengira firqah.

Kerana memilih pemimpin dan kumpulan politik ini ada kaitan dengan penentuan syurga atau neraka kepada individu, bukan setakat furu’ Syariat yang melibatkan pahala dan dosa:

{ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ ٱلۡكَـٰفِرِینَ أَوۡلِیَاۤءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِینَۚ أَتُرِیدُونَ أَن تَجۡعَلُوا۟ لِلَّهِ عَلَیۡكُمۡ سُلۡطَـٰنࣰا مُّبِینًا (144) إِنَّ ٱلۡمُنَـٰفِقِینَ فِی ٱلدَّرۡكِ ٱلۡأَسۡفَلِ مِنَ ٱلنَّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُمۡ نَصِیرًا (145) }

“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu?

“Sesungguhnya orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terbawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.” (Surah An-Nisāʾ: 144-145)

{ بَشِّرِ ٱلۡمُنَـٰفِقِینَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِیمًا (138) ٱلَّذِینَ یَتَّخِذُونَ ٱلۡكَـٰفِرِینَ أَوۡلِیَاۤءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِینَۚ أَیَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِیعࣰا (139) }

“Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

“(Iaitu) orang yang mengambil orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang yang beriman.

“Tidaklah patut mereka (orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya).” [Surah An-Nisāʾ: 138-139]

{ لَّا تَجِدُ قَوۡمࣰا یُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡیَوۡمِ ٱلۡـَٔاخِرِ یُوَاۤدُّونَ مَنۡ حَاۤدَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَوۡ كَانُوۤا۟ ءَابَاۤءَهُمۡ أَوۡ أَبۡنَاۤءَهُمۡ أَوۡ إِخۡوَ ٰ⁠نَهُمۡ أَوۡ عَشِیرَتَهُمۡۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ كَتَبَ فِی قُلُوبِهِمُ ٱلۡإِیمَـٰنَ وَأَیَّدَهُم بِرُوحࣲ مِّنۡهُۖ وَیُدۡخِلُهُمۡ جَنَّـٰتࣲ تَجۡرِی مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ خَـٰلِدِینَ فِیهَاۚ رَضِیَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُوا۟ عَنۡهُۚ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ حِزۡبُ ٱللَّهِۚ أَلَاۤ إِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ }

“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka.

“Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripada-Nya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya.

“Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang yang berjaya.” [Surah Al-Mujādilah: 22]

{ إِذۡ تَبَرَّأَ ٱلَّذِینَ ٱتُّبِعُوا۟ مِنَ ٱلَّذِینَ ٱتَّبَعُوا۟ وَرَأَوُا۟ ٱلۡعَذَابَ وَتَقَطَّعَتۡ بِهِمُ ٱلۡأَسۡبَابُ (166) وَقَالَ ٱلَّذِینَ ٱتَّبَعُوا۟ لَوۡ أَنَّ لَنَا كَرَّةࣰ فَنَتَبَرَّأَ مِنۡهُمۡ كَمَا تَبَرَّءُوا۟ مِنَّاۗ كَذَ ٰ⁠لِكَ یُرِیهِمُ ٱللَّهُ أَعۡمَـٰلَهُمۡ حَسَرَ ٰ⁠تٍ عَلَیۡهِمۡۖ وَمَا هُم بِخَـٰرِجِینَ مِنَ ٱلنَّارِ (167) }

“(Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka.

“Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah orang yang menjadi pengikut: Alangkah eloknya kalau kami (dengan itu dapat kami berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)!”

“Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka.” [Surah Al-Baqarah: 166-167]

{ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَكُونُوا۟ مَعَ ٱلصَّـٰدِقِینَ }

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar.” [Surah At-Tawbah: 119]

{ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ مَن یَرۡتَدَّ مِنكُمۡ عَن دِینِهِۦ فَسَوۡفَ یَأۡتِی ٱللَّهُ بِقَوۡمࣲ یُحِبُّهُمۡ وَیُحِبُّونَهُۥۤ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِینَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلۡكَـٰفِرِینَ یُجَـٰهِدُونَ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ وَلَا یَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَاۤىِٕمࣲۚ ذَ ٰ⁠لِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ یُؤۡتِیهِ مَن یَشَاۤءُۚ وَٱللَّهُ وَ ٰ⁠سِعٌ عَلِیمٌ (54) إِنَّمَا وَلِیُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱلَّذِینَ یُقِیمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَیُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمۡ رَ ٰ⁠كِعُونَ (55) وَمَن یَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَـٰلِبُونَ (56) }

“Wahai orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia;

“Mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang kafir. Mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela.

“Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; Kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi Pengetahuan-Nya.

“Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan Rasul-Nya, serta orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).

“Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang.” [Surah Al-Māʾidah: 54-56]

USTAZ MUHAMMAD RIFA’AT RAZMAN
Pengerusi Lajnah Dakwah Dewan Ulamak PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 28/5/2025

- Advertisement -