Permohonan imuniti: Anwar hina prinsip undang-undang

Tun Faisal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Permohonan imuniti Perdana Menteri bagi mengelak saman sivil bekas pembantunya, Muhammed Yusoff Rawther merupakan satu penghinaan terhadap prinsip kedaulatan undang-undang, integriti institusi kehakiman dan maruah negara.

- Advertisement -

Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, permohonan itu adalah tidak berasas dari segi undang-undang kerana Perlembagaan tidak pernah mengangkat Perdana Menteri sebagai kebal daripada undang-undang.

“Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang. Cubaannya untuk berlindung di sebalik jawatan eksekutif bagi mengelak pertanggungjawaban atas dakwaan peribadi. Adalah satu langkah bacul dan tidak bermoral.

“Malaysia bukan negara diktator. Tiada siapa, termasuk Perdana Menteri, boleh menuntut layanan istimewa di luar batas undang-undang. Raja-Raja Melayu pun tidak kebal. Apakah PMX mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada Raja-Raja Melayu?” persoalnya.

Tambah beliau, imuniti dalam sistem ‘common law’ hanya terpakai kepada tindakan rasmi dalam skop tugas jawatan dan tidak meliputi tindakan peribadi, apatah lagi yang berlaku sebelum individu tersebut memegang jawatan.

“Tindakan yang didakwa (serangan seksual) adalah pertamanya, bersifat peribadi dan keduanya, berlaku sebelum Anwar memegang jawatan Perdana Menteri, lalu tidak layak mendapat perlindungan imuniti rasmi.

“Dalam undang-undang antarabangsa, termasuk di Amerika Syarikat, Presiden hanya menikmati imuniti atas tindakan rasmi dalam kapasiti jawatannya. Mereka tidak kebal atas perbuatan peribadi sebelum dilantik,” ujarnya.

Justeru, beliau meminta supaya Dato’ Seri Anwar Ibrahim membuktikan di mahkamah sekiranya tidak bersalah kerana tindakan ‘lari’ dari proses kehakiman melalui alasan imuniti hanya menunjukkan ketakutan, bukan keyakinan.

“Ini bukan tentang politik. Ini tentang keadilan, dan keadilan mesti ditegakkan secara terbuka, telus, dan saksama. Mahkamah digesa untuk menolak permohonan ini dengan tegas dan pantas.

“Keberanian institusi kehakiman dalam mempertahankan Perlembagaan dan prinsip keadilan akan menjadi penentu arah masa depan demokrasi Malaysia. Malaysia bukan milik mana-mana individu. Ia milik rakyat yang percaya pada undang-undang, bukan pada imuniti.

“Tindakan PMX ini amat memalukan Malaysia di mata dunia. Kerana mengakibatkan duluan (precedent) yang boleh menggugat semangat dan prinsip undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Bahkan juga kerana ia berkaitan jenayah seksual, bukan ke atas perempuan, sebaliknya ke atas lelaki,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/5/2025

- Advertisement -