Dungun sesuai jadi hab pembangunan sukan rakyat

- Advertisement -

DUNGUN: Daerah Dungun berpotensi besar untuk diangkat sebagai hab pembangunan sukan akar umbi berimpak tinggi, sekali gus menyumbang kepada kemajuan sukan negeri Terengganu dan negara secara keseluruhannya.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Mohd Fadli Rahmi Zulkifli (foto atas) berkata, Dungun telah terbukti menjadi tanah lahir kepada ramai atlet berkualiti tinggi dalam pelbagai disiplin sukan seperti berbasikal, BMX, olahraga, bola sepak dan sepak takraw.

“Dungun bukan calang-calang daerah. Dari padang kampung hingga ke podium antarabangsa, anak muda dari Dungun membuktikan bahawa daerah ini sangat sesuai untuk diangkat menjadi hub pembangunan sukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas usaha berterusan pihaknya untuk menjadikan Dungun sebagai pusat rujukan pembangunan sukan di peringkat negeri dan kebangsaan.

Menurut Fadli, beberapa siri perbincangan telah diadakan bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu bagi merangka pelan tindakan jangka pendek dan panjang ke arah merealisasikan hasrat tersebut.

“Kita tidak bermula dari kosong. Dungun sudah memiliki beberapa fasiliti asas sukan yang baik dan kini menjadi tanggungjawab kita untuk memaksimumkan penggunaannya, menambah baik infrastruktur sedia ada dan memastikan ia dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat.

“Saya juga ada bertemu dan berbincang dengan kelab kelab sukan tempatan, sekolah dan NGO belia untuk memperkukuh kerjasama serta merancang aktiviti pembangunan bakat secara berterusan. Usaha ini bukan sahaja untuk mencungkil atlet, tetapi juga membina komuniti yang sihat,” ujarnya.

“Sewaktu delegasi Kerajaan Negeri Terengganu mengadakan kunjung hormat pada Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Malaysia ketika itu, kami juga melontarkan beberapa pandangan dan berusaha untuk membawa pulang peruntukan dan program pembangunan sukan ke Dungun.

“Ini termasuklah sokongan teknikal, latihan jurulatih, dan penglibatan badan badan sukan nasional,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang itu semasa lawatan hormat delegasi Kerajaan Negeri Terengganu kepada Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

Menurutnya, beberapa cadangan dan permintaan telah dikemukakan termasuk keperluan peruntukan, latihan jurulatih serta sokongan teknikal daripada badan-badan sukan kebangsaan.

“Saya percaya, pembangunan sukan dari peringkat akar umbi adalah pelaburan jangka panjang untuk negara dan Dungun mampu menjadi model kejayaan bagaimana sebuah daerah luar bandar boleh menjadi tapak lahirnya juara dunia,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh warga Dungun untuk bersama-sama menyokong usaha tersebut dan menzahirkan kerjasama padu demi kemajuan sukan tanah air.

“Saya menyeru kepada seluruh warga Dungun untuk bersama sama menyokong usaha ini. Kita sedang bergerak, kita sedang bekerja dan kita tidak akan berhenti sehingga Dungun menjadi kebanggaan negeri dan negara.

“Saya amat mengalu alukan sebarang cadangan dan kerjasama yang padu dari semua pihak agar sukan Malaysia terus mekar di persada dunia,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/5/2025

- Advertisement -