
KOTA BHARU: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan ahli dan penyokong parti agar terus menjaga adab serta tertib sepanjang musim pemilihan, sejajar dengan identiti tersendiri yang dimiliki PAS berbanding parti-parti lain.
Menurutnya, keunikan budaya pemilihan dalam PAS mesti dikekalkan dan ditambah baik dan sikap begini juga membuatkan parti ini dikagumi banyak pihak.
Menurutnya, proses pemilihan PAS kini berlangsung dalam suasana cukup tenang dan aman tanpa sebarang kempen terbuka yang tentunya ia berbeza daripada parti-parti politik lain di negara ini.
“Dalam PAS, siapa yang berkempen untuk mendapatkan jawatan, dia akan kalah. Ia satu perkara yang pelik, tapi itulah budaya kita,” ujarnya di sini ketika ditemui.
Beliau turut menyentuh isu perbelanjaan terhadap penyokong seperti menaja makan di hotel yang menurutnya walaupun tidak salah, tetapi boleh menjurus kepada budaya kempen secara tidak langsung.
Katanya, kempen secara prinsipnya tidak menjadi kesalahan asalkan tidak memburukkan pihak lain demi meraih sokongan.
“Apa yang menariknya, dalam PAS orang tak perlu berkempen pun untuk menang. Saya sendiri pernah bertanding pelbagai jawatan atas cadangan ahli parti, tapi satu sen pun saya tak keluar duit,” tambah beliau.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu juga menegaskan, jawatan dalam PAS bukan sesuatu yang boleh dibanggakan, sebaliknya merupakan satu bentuk taklif dan amanah besar wajib dipikul.
“Kita hanya nak pilih siapa yang terbaik di kalangan orang baik dalam PAS untuk menjadi pemimpin,” jelas beliau lagi yang juga Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang.
Tambahnya, pemilihan PAS kali ini dijadual berlangsung pada bulan September dan semua kawasan termasuk Kubang Kerian telah mengadakan mesyuarat masing-masing sebagai persediaan ke arah Muktamar Tahunan.
“Jawatankuasa Pemilihan turut ditubuhkan dan kini giat menjalankan tugas di seluruh negara, termasuk di peringkat cawangan dan kawasan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau memuji perjalanan pemilihan Dewan Muslimat dan Pemuda kawasan di seluruh negeri berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini seperti pergolakan atau tuduh-menuduh.
Nasihat beliau, semua pihak perlu menghormati peraturan pemilihan dan memilih yang terbaik dalam kalangan yang baik untuk memimpin parti.
“Dalam PAS, budaya meminta-minta jawatan tidak wujud. Nabi Muhammad SAW sendiri tidak suka pada orang yang terlalu mengharapkan jawatan kerana ia adalah satu amanah,” katanya.
Apabila ditanya sama ada beliau akan bertanding dalam pemilihan kali ini, beliau hanya menjawab ringkas.
“Bergantung pada pencalonan, ramai yang bertanya tentang perkara ini.” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/5/2025











