Santuni bekas penjaga gol hoki kebangsaan

Kepsyen: Razali (baju batik) bergambar bersama keluarga Asnawi ketika program ziarah kebajikan di Kampung Pondok Pasir, Ibok
- Advertisement -

KEMAMAN: Nasib bekas penjaga gol skuad hoki remaja kebangsaan, Mohamad Asmawi Zaidi yang tular baru-baru ini dalam keadaan menyayat hati, menarik perhatian serius Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris serta Persatuan Hoki Terengganu (PHT).

- Advertisement -

Menurut Razali, jasa dan pengorbanan atlet seperti Asmawi tidak seharusnya dilupakan walaupun mereka tidak lagi aktif dalam arena sukan.

“Usaha membantu beliau bukan sekadar tanggungjawab sosial, tetapi satu penghargaan atas jasa dan pengorbanan beliau,” katanya ketika ditemui selepas program ziarah kebajikan di Kampung Pondok Pasir, Ibok.

Program tersebut turut disertai Penaung PHT, Ir Saiful Azmi Suhaili dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kemaman, Mohd Fadzli Ismail serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat.

Menurut Razali, dalam pertemuan itu, pihaknya bersama PHT dan JKM telah berbincang mengenai pelbagai bentuk bantuan serta sokongan jangka pendek dan jangka panjang bagi menjamin kebajikan Asmawi.

“Semoga Allah SWT permudahkan segala urusan Asmawi dan keluarganya, serta dikurniakan kesembuhan dan ketenangan buat beliau,” ujarnya.

Untuk rekod, Asmawi pernah menyarung jersi Malaysia bawah 16 tahun dalam kejohanan di Jerman, India dan Pakistan, serta mewakili Terengganu dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA).

Namun, sejak beberapa tahun lalu, beliau dilaporkan mengalami masalah kesihatan mental yang serius.

Awal Mei lalu, tular sebuah video memaparkan seorang lelaki dalam keadaan tidak terurus, berkaki ayam dan meracau di sekitar Taman Kerang, Kuantan dan individu tersebut kemudiannya dikenal pasti sebagai Asmawi.

Difahamkan, Asmawi pernah mengalami episod kesihatan mental kira-kira lima tahun lalu dan keadaannya dipercayai berpunca daripada tekanan hidup, kemurungan serta pemutusan kontrak oleh kelab pada tahun 2018.

Susulan itu, PHT bersama JKM dan beberapa agensi lain sedang merangka pelan bantuan susulan termasuk membawa beliau mendapatkan rawatan sewajarnya.

Dalam pada itu, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut menyatakan kesediaan menghulurkan bantuan dalam bentuk sokongan kesihatan, perkhidmatan kaunseling serta bantuan sara hidup. – HARAKAHDAILY 28/5/2025

- Advertisement -