Sukan: Bakat pelajar SRITI berpotensi dikembangkan

Jumaidin Lakalla
- Advertisement -

LAHAD DATU: Kejohanan Sukan dan Olahraga SRITI (KESUGA) Zon Pantai Timur 2025 yang telah diadakan di sini, kelmarin berlangsung meriah dengan penyertaan empat buah Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) sekitar Pantai Timur Sabah.

- Advertisement -

Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Jumaidin Lakalla, berkata kejohanan kali ini sangat sengit kerana para atlet yang terlibat masing-masing memberikan saingan yang hebat.

Menurutnya, bakat-bakat muda yang diketengahkan dalam kejohanan ini perlu diberi perhatian serius supaya boleh dikembangkan pada masa hadapan.

“Anak-anak ini memiliki potensi yang besar. Kita perlu pastikan bahawa mereka ini, perlu terus dibimbing dengan baik, agar satu hari nanti mereka boleh mengharumkan nama sekolah, negeri, malah negara dalam bidang sukan yang mereka kuasai,” ujar beliau sewaktu merasmikan program itu.

Tambahnya lagi, KESUGA 2025 berjaya mencapai matlamatnya bukan sekadar mencungkil bakat sukan tetapi juga memupuk disiplin, semangat berpasukan, dan ukhuwah dalam kalangan pelajar.

Beliau juga menekankan bahawa, membina insan generasi rabbani bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik tetapi juga dalam sukan dan pembangunan sahsiah.

Jumaidin turut menekankan agar bersukan mengikut syariah.

Katanya, Islam tidak pernah menghalang aktiviti sukan, malah menggalakkan umatnya untuk sihat dan kuat.

“Namun begitu, kita harus sentiasa memastikan bahawa batas-batas syariah tetap dijaga, terutama soal aurat, adab pergaulan, dan niat.

“Kita mahu lahirkan atlet-atlet yang bukan sahaja kuat jasmani, tetapi juga mantap rohani dan akhlaknya,” tambah beliau.

Terdapat lima acara sukan yang telah dipertandingkan, antaranya acara balapan, lontar peluru, bola sepak, bola jaring dan memanah.

SRITI Imam Al-Bukhari dinobatkan sebagai juara dengan kutipan tujuh pingat emas, lapan perak dan empat gangsa, SRITI Kota di tempat kedua dengan 7 emas, 2 perak, 4 gangsa, dan tempat ketiga SRITI Tahfiz Lahad Datu dengan 5 emas, 8 perak, 5 gangsa.

Turut hadir ialah Pengarah SRITI Sabah, Kasman Karate dan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Kawasan Lahad Datu, Tan Chin Khoon. – HARAKAHDAILY 27/5/2025

- Advertisement -