Bukan sekadar buku: APSA hadiahkan karya menggetar jiwa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: APSA Publication melancarkan beberapa judul buku inspirasi terbaharu sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur, semalam.

- Advertisement -

Pelancaran tersebut bukan sekadar memperkenalkan karya baharu, bahkan menjadi platform penghargaan kepada para penulis yang telah mencurahkan idea, ilmu dan pengalaman hidup mereka dalam bentuk penulisan menyentuh hati dan mendidik jiwa.

Antara judul yang diperkenalkan termasuk ‘7 Pilihan Doa untuk Ibu Bapa’, ‘Bicara dari Hati’, ‘Asam Garam Kehidupan’ dan ‘The Power of Ibu’.

Setiap buku membawa tema yang dekat dengan masyarakat, menyentuh isu kekeluargaan, emosi, keimanan serta kehidupan seharian.

Majlis turut menampilkan para penulis yang berkongsi kisah dan inspirasi di sebalik penghasilan karya mereka.

Kehadiran keluarga penulis turut memeriahkan majlis, sebagai tanda sokongan terhadap usaha mereka dalam menghasilkan penulisan bermutu.

Menurut Pengurus APSA Publication, Siti Murshidah Ramly, pelancaran ini adalah simbol komitmen penerbit untuk terus menyebarkan karya yang memberi manfaat.

“Kami percaya, setiap baris tulisan yang lahir dari hati yang jujur akan sampai ke hati yang memerlukan. Ini bukan sekadar buku, tetapi bekal rohani dan emosi buat insan yang sedang mencari arah,” katanya.

Beliau menambah bahawa penulisan bukan hanya untuk berkongsi cerita, tetapi berperanan sebagai medium memberi manfaat kepada masyarakat dalam dunia yang serba pantas hari ini.

“Doa yang ditulis mampu menyentuh langit. Pengalaman yang dikongsikan boleh menjadi cermin buat insan lain,” ujarnya lagi.

APSA Publication turut menyatakan komitmen berterusan untuk menerbitkan lebih banyak buku yang bukan sahaja menyampaikan ilmu dan inspirasi, tetapi juga mampu membentuk jiwa dan menyuburkan nilai kemanusiaan dalam masyarakat. – HARAKAHDAILY 27/5/2025

- Advertisement -