Israel umum akan kuasai Baitulmaqdis dan Gaza sepenuhnya

penaklukan Israel ke atas Baitulmaqdis Timur
- Advertisement -

PADA hari Isnin (26 Mei 2025), Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan semasa di Jerusalem (Baitulmaqdis) bahawa kota suci itu akan berada sepenuhnya di bawah kekuasaan Israel.

- Advertisement -

Pengumuman ini dibuat ketika sambutan memperingati penaklukan Israel ke atas Baitulmaqdis Timur selepas Perang Enam Hari pada tahun 1967.

Sambutan tersebut dihadiri oleh ribuan warga Israel dengan mereka berarak melalui jalan-jalan di Baitulmaqdis Timur sambil melaungkan slogan provokasi “Mati kepada Arab!”.

Tindakan ini mencetuskan ketegangan yang semakin memuncak di wilayah tersebut dan kawalan keselamatan dipertingkatkan bagi mengelakkan sebarang rusuhan.

Pentadbiran Netanyahu turut meluluskan usul bagi menggalakkan negara-negara yang mempunyai hubungan dengan Israel supaya memindahkan kedutaan mereka ke Baitulmaqdis.

Kenyataan itu dibuat oleh Menteri Luar, Gideon Saar dan Menteri Hal Ehwal Jerusalem dan Warisan Yahudi, Meir Porush.

Dalam pada itu, Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir telah membuat lawatan kontroversi ke kawasan Masjid Al-Aqsa lalu mencabar status quo yang telah dipersetujui sejak 1967.

Menteri yang terkenal dengan sikap rasis itu telah menyeru agar hak beribadat bagi penduduk Yahudi di kawasan masjid suci umat Islam diperakui dan diberi keluasan berbanding sebelum ini.

Selain itu, Netanyahu juga mengumumkan bahawa Israel akan mengambil alih Gaza selepas operasi ketenteraan darat yang dilancarkan tentera Israel berakhir.

Pengumuman Netanyahu ini mendapat kecaman hebat dari masyarakat antarabangsa mengenai perang genosid dan pelanggaran hak asasi manusia yang berterusan di Gaza dan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing dengan kekurangan makanan, ubat-ubatan dan kemudahan perubatan.

Pihak Israel mendakwa bahawa mereka telah menguasai 77 peratus wilayah dari keseluruhan bumi Gaza.

Netanyahu turut menyatakan bahawa pelan pemindahan penduduk Gaza yang dicadangkan oleh bekas Presiden AS, Donald Trump akan dilaksanakan selepas Israel menguasai Gaza sepenuhnya.

Rancangan pemindahan penduduk itu telah dikecam oleh organisasi kemanusiaan antarabangsa sebagai tidak berperikemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa.

Sejak tercetusnya konflik berskala besar pada Oktober 2023, serangan ketenteraan Israel telah meragut lebih 53,939 nyawa dan mencederakan 122,797 orang.

Angka korban terus meningkat sejak Israel menyambung semula operasi udara dan darat besar-besaran bermula 18 Mac 2025 yang menyaksikan sekurang-kurangnya 3,785 orang terbunuh dan 10,756 lagi cedera.

Dengan perkembangan terbaru di Tebing Barat (Baitulmaqdis) dan Gaza ini, ketegangan di rantau tersebut dijangka akan terus meningkat dan tekanan antarabangsa terhadap Israel semakin memuncak.

IMRAN AL-MALIZI – HARAKAHDAILY 27/5/2025

- Advertisement -