Siapa yang sebenarnya peduli nasib rakyat?

- Advertisement -

JANGAN terlalu beri tumpuan pada keputusan pemilihan PKR. Rafizi kalah, Nurul Izzah—anak bapak—menang, biarkan mereka. Siapa pun menang, adakah ia membantu kehidupan kita?

- Advertisement -

Hakikatnya, yang kalah itu Menteri Ekonomi. Yang menang pula anak Perdana Menteri. Kedua-duanya punya pengaruh besar dalam kerajaan. Tetapi apakah sumbangan mereka ke arah membela nasib dan kehidupan kita sebenarnya?

Apa kata kita ajak semua, tak kiralah orang PKR, PH, UMNO, apa-apa parti atau tidak berparti sekalipun, selak ke halaman 7 akhbar The Sunday Star hari ini. Kalau tak ada, ini saya paparkan di bawah.

Bukan wajah Nurul Izzah, Rafizi atau Anwar yang terpampang. Tetapi wajah sebenar nasib kita, nasib rakyat—iaitu gambar-gambar keperluan asas rumahtangga dan makanan ruji rakyat Malaysia.

Lihat baik-baik. Ini ialah perbandingan kenaikan harga barang-barang asas dari tahun 2020 hingga 2024—iaitu tempoh ketika Rafizi, Izzah, Anwar dan semua sekutu mereka berkuasa.

(Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia – DOSM)

  • Air minuman kosong (drinking water) 500ml: dari RM0.70 kini RM1.56 — naik 123%
  • Pisang emas sekilogram: dari RM4.41 kini RM5.74 — naik 30%
  • Susu pekat manis (500g): dari RM2.82 kini RM4.00 — naik 42%
  • Roti canai sekeping: dari RM1.13 kini RM1.54 — naik 36%
  • Mi segera (500g): dari RM3.76 kini RM5.08 — naik 35%
  • Teh tarik segelas: dari RM1.61 kini RM2.14 — naik 33%
  • Minyak masak (3kg): dari RM16.99 kini RM22.35 — naik 32%

Yang lain anda boleh lihat sendiri.

Ada yang bersorak Nurul Izzah menang, ada yang hiba Rafizi kalah. Tapi ada tak yang peduli melihat perbandingan ini—nak sorak atau nak menangis?

Ini bukan perbandingan 10 atau 20 tahun, atau di zaman Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman. Ini hanya perbandingan dari 2020 ke 2024 sahaja.

Rakyat menanggung derita dan azab untuk memberi makan anak, isteri dan keluarga. Inflasi semakin menjerut leher, kenaikan harga barang seakan-akan hilang kawalan.

Ternyata kerajaan perpaduan Madani PH-BN ini gagal memperjuangkan nasib rakyatnya sendiri. Hentikanlah retorik ‘reformasi’ dan ‘transformasi’—ayat-ayat kosong yang tidak mengisi perut rakyat pun. Slogan-slogan indah itu ternyata tak jejak tanah.

Paparan ini bukti kegagalan kerajaan. Inilah pendorong rakyat untuk bangkit membuat perubahan—tukar yang gagal, naikkan yang lain.

Izzah atau Rafizi, rakyat tetap dan semakin susah.

ROSLAN SMS

- Advertisement -