Pak Awang Harakah Masjid Tanah sudah tiada

- Advertisement -

PAS Kawasan Masjid Tanah hari ini kehilangan sebutir permata yang indah yang telah menyinari perjuangan kami sejak berpuluh tahun lamanya.

- Advertisement -

Hari ini kami mendapat perkhabaran duka bahawa seorang aktivis Assabiqun kami, Wahab Dollah yang lebih dikenali sebagai ‘Pak Awang Harakah’ telah pergi meninggalkan kita buat selamanya.

Saya bersama beberapa orang lagi pimpinan PAS Kawasan Masjid Tanah antaranya Ketua Dewan Ulamak kawasan, Ustaz Helmi Salleh, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Haji Azmi Sambul dan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan, Rohizan Abdul Rahman, telah menziarahi jenazah beliau yang baru tiba di rumah sekitar jam tiga petang hari ini.

Menurut ahli keluarganya, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 9:00 pagi tadi dengan punca kematian beliau adalah disebabkan jangkitan kuman terkait dengan beberapa rawatan yang beliau lakukan di hospital akhir-akhir ini.

Allahyarham Pak Awang, 71, adalah aktivis PAS di kawasan ini sejak usia muda lagi sekitar era 80an dan dikenali sebagai Pak Awang Harakah kerana peranan beliau sebagai pengedar akhbar rasmi PAS itu sejak tahun 90-an.

Beliau gigih menghantar Harakah dari rumah ke rumah ahli yang memesan akhbar tersebut walau pun hakikatnya komisen yang diterima bukanlah sebesar mana dan tidak menjadi laba yang menguntungkan.

Namun demi tamggungjawab menyebarkan maklumat parti, beliau gigih mengedarkan Harakah sejak era 90-an sehinggalah beberapa tahun lepas beliau berhenti menjadi pengedar atas faktor kesihatan.

Beliau yang merupakan peneroka FELCRA di tanah rancangan itu di Ramuan China, Masjid Tanah gigih bergerak sebagai amilin di sebalik kesukaran hidupnya dari segi material demi membesarkan 12 orang anaknya.

Saya ingat lagi, walau pun serba kekurangan beliau tidak lokek membelanja rakan-rakan lain ketika berhenti makan sewaktu sama-sama bermusafir ke program-program PAS seperti muktamar, ceramah atau demonstrasi.

Walaupun lebih berusia dari sebahagian pimpinan, namun Allahyarham adalah seorang yang wala’ dan menghormati sesiapa yang berada di kerusi pimpinan walau pun mereka jauh lebih muda dari beliau.

Di hujung usianya, di kala anak-anaknya telah dewasa dan bekerja, beliau banyak memberikan infak secara diam-diam untuk membina Kompleks PAS Masjid Tanah yang sedang dalam pembinaan dan juga memberikan sumbangan kepada beberapa buah tadika PASTI dengan jumlah puluhan ribu Ringgit.

Sepanjang hidupnya, beliau gigih menuntut ilmu agama di masjid-masjid dan surau-surau daripada para ulama di dalam Negeri Melaka seperti Allahyarham Tuan Guru Jalaluddin Abdul Wahid, Allahyarham Ustaz Ghani Abdul Rahman dan ramai lagi demi untuk meningkatkan kefahamannya terhadap perjuangan Islam.

Coretan ini akan menjadi terlalu panjang dan tidak akan cukup untuk mencatatkan segala gerak kerja dan sumbangan material dan tenaga beliau sepanjang beliau menjadi pejuang PAS dari dulu sehingga nafas terakhirnya.

Sebaik-baik pembalasan yang kita harapkan adalah dari Allah SWT atas segala pengorbanan dan jerih-perih yang Allahyarham lalui selama berjuang di dalam PAS.

Walaupun hanya dikenali sebagai amilin perjuangan Islam di dunia ini semoga beliau menjadi jauh lebih terkenal dalam kalangan penduduk langit.

Walau pun kehilangan beliau sukar dicari ganti, namun kita berdoa agar akan lahir lagi lebih ramai pejuang-pejuang yang ikhlas dan gigih seperti beliau dari kalangan anak-anak muda yang menjadi mata rantai perjuangan ini.

Ya Allah, kami serahkan saudara kami yang sangat kami kasihi ini untuk kembali ke pangkuan-Mu dan terimalah semua pengorbanan dan perjuangannya selama ini sebagai amal soleh dan masukkanlah dia ke dalam syurga Firdaus-Mu. Amin

𝗨𝗦𝗧𝗔𝗭 𝗜𝗠𝗥𝗔𝗡 𝗔𝗕𝗗𝗨𝗟 𝗥𝗔𝗛𝗠𝗔𝗡
Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka
Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah – HARAKAHDAILY 25/5/2025

- Advertisement -