Perlu imbangan agar tak jejas sektor profesional

Cadangan naikkan had umur persaraan kepada 65 tahun

Muhammad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib menegaskan agar cadangan menaikkan had usia persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun perlu dibincangkan secara mendalam dan menyeluruh sebelum dimuktamadkan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Parit itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mencadangkan pelanjutan usia persaraan itu.

“Secara prinsipnya, cadangan ini mencerminkan pengiktirafan terhadap peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia serta hakikat bahawa ramai individu berumur 60 tahun ke atas masih sihat, produktif dan mempunyai kepakaran serta pengalaman yang amat bernilai kepada negara,” katanya kepada Harakahdaily.

Tambah beliau, dalam beberapa sektor profesional seperti perundangan dan perubatan, usia bukanlah penghalang untuk terus menyumbang secara signifikan, namun mengingatkan agar kebimbangan golongan muda dan penganggur tidak dipandang ringan.

Menurutnya, pelaksanaan dasar ini secara menyeluruh tanpa pendekatan pengimbangan yang sesuai boleh menjejaskan peluang generasi muda untuk memasuki pasaran kerja dan seterusnya menjejaskan pembangunan sumber manusia negara.

“Maka, saya menyarankan agar sebarang cadangan ke arah menaikkan usia persaraan ini seharusnya dikaji secara menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai sudut termasuklah kesihatan dan kesejahteraan warga emas.

“(Juga terhadap) daya saing ekonomi, cabaran pengangguran belia, keperluan sektor tertentu, serta impak terhadap sistem pencen dan simpanan persaraan,” ujar beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Parit.

Beliau mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pendekatan berperingkat atau fleksibel, termasuk pilihan persaraan sukarela dan pelanjutan kontrak berdasarkan prestasi, sebelum melaksanakan sebarang perubahan menyeluruh terhadap semua sektor.

Katanya, langkah ini boleh memberi ruang kepada pekerja yang ingin terus berkhidmat, sambil tidak menafikan peluang kepada golongan muda untuk menyertai sektor pekerjaan.

Ustaz Ismi turut menegaskan bahawa dasar berkaitan perlu dirangka berasaskan data, kajian menyeluruh serta rundingan awam yang melibatkan semua pihak berkepentingan seperti majikan, kesatuan sekerja, ahli ekonomi, dan masyarakat sivil.

“Saya akan terus mengikuti perkembangan isu ini dan sedia membawa suara rakyat Parit serta pandangan masyarakat umum ke Parlimen demi memastikan setiap keputusan yang dibuat benar-benar mencerminkan aspirasi rakyat dan kemaslahatan negara secara menyeluruh,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/5/2025

- Advertisement -