PAS alu-alukan pemimpin ASEAN ke Kuala Lumpur

Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mengalu-alukan kedatangan semua pemimpin Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) ke Kuala Lumpur sempena persidangan penting yang berlangsung hari ini.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, kehadiran pemimpin-pemimpin negara ASEAN mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama serantau demi keamanan, kemakmuran dan kemajuan yang berterusan di Asia Tenggara.

Katanya, persidangan itu hadir pada waktu yang amat signifikan, dengan rantau ini berdepan pelbagai cabaran dan peluang baharu.

“Justeru, selaku rakyat biasa Malaysia, saya berharap beberapa isu utama dapat dibincangkan secara mendalam dan diberi perhatian serius sepanjang sidang ini.

“Isu tarif dan perdagangan serantau (iaitu), keperluan menyelaraskan dasar tarif antara negara anggota bagi memastikan perdagangan intra-ASEAN yang adil, bebas dan progresif, termasuk menangani kesan perlindungan ekonomi dan tarif unilateral.

“Kestabilan geopolitik dan Laut China Selatan (iaitu), menangani pertikaian secara damai dan menegakkan prinsip undang-undang antarabangsa.

“Ekonomi serantau pasca pandemik (iaitu), pemulihan ekonomi yang inklusif, pengukuhan rantaian bekalan, dan integrasi ekonomi melalui RCEP (Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau).

“Krisis kemanusiaan di Myanmar (iaitu), mencari penyelesaian konstruktif terhadap krisis politik dan penderitaan rakyatnya.

“Keselamatan siber dan jenayah rentas sempadan (iaitu), kerjasama dalam menangani serangan siber, pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram.

“Perubahan iklim dan pembangunan lestari (iaitu), komitmen bersama ke arah transformasi hijau dan pengurangan jejak karbon.

“Mobiliti rakyat ASEAN (iaitu), mempermudah pergerakan rakyat melalui inisiatif seperti ASEAN Travel Corridor dan keseragaman piawaian visa,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, rakyat Malaysia kekal teguh dengan pendirian bahawa masa depan ASEAN bergantung pada perpaduan, saling percaya dan keberanian untuk membuat keputusan yang berpandangan jauh.

“Semoga persidangan ini membuka ruang kepada penyelesaian tuntas yang mampu membawa manfaat nyata kepada lebih 600 juta rakyat ASEAN.

“Selamat bersidang dan selamat datang ke Kuala Lumpur,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/5/2025

- Advertisement -