Istana Arau diserbu, rakyat erat kasih dengan raja

- Advertisement -

ARAU: Lebih 32,000 pengunjung dari seluruh pelosok negeri membanjiri pekarangan Istana Arau dalam acara Malam Kilauan Cahaya (MKC) Istana Arau 2025 yang berlangsung selama dua malam berturut-turut.

- Advertisement -

Program dianjurkan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Pejabat Raja Perlis ini bukan sekadar menonjolkan keindahan di istana, tetapi menjadi platform kukuh mempererat hubungan antara institusi diraja dengan rakyat pelbagai lapisan kaum.

Bermula tepat jam 9 malam pada Jumaat dan Sabtu, pintu istana dibuka kepada rakyat jelata untuk menikmati panorama istana yang bercahaya indah serta menyaksikan pelbagai persembahan dan pameran berunsur warisan budaya serta kenegaraan.

Platform budaya dan kesatuan

MKC yang mula diperkenalkan pada tahun 2012 merupakan cetusan idea Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Raja Puan Muda Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil dalam usaha memperkukuh hubungan antara rakyat dan Raja.

Penganjuran itu selari dengan prinsip Raja Berperlembagaan yang menjadi payung kepada keharmonian masyarakat dan tahun ini diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Dengan kehadiran meriah rakyat jelata pada program ini setelah tertangguh selama beberapa tahun berikutan pandemik Covid-19, menunjukkan penganjuran semula acara ini ternyata dinanti-nantikan rakyat.

Selain lampu gemerlapan menyinari landskap istana, MKC turut menampilkan persembahan kebudayaan, pertunjukan bunga api, pameran Galeri Diraja dan aktiviti interaktif masyarakat, menjadikannya sebuah pesta rakyat yang sarat nilai dan makna.

Pemangkin perpaduan dan warisan budaya

Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UniMAP, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir berkata, MKC tidak sekadar acara hiburan visual, tetapi membawa mesej mendalam tentang jalinan erat antara Raja dan rakyat.

“UniMAP melalui PKK memainkan peranan penting dalam promosi dan dokumentasi program, manakala Pusat Kebudayaan (PKBU) pula menyusun persembahan seni yang menggambarkan kekayaan budaya negeri ini,” katanya.

Beliau menyifatkan sambutan hangat diterima, termasuk ketika hujan renyai-renyai pada malam pertama, sebagai tanda kejayaan program ini dalam menyemai semangat kesatuan serta menyuburkan semula warisan budaya yang kian dilupakan.

Menelusuri tradisi, menyemai cinta tanah air

MKC turut menampilkan Galeri Diraja yang mempersembahkan sejarah, sumbangan dan legasi institusi diraja Perlis kepada negeri dan negara, sekali gus memberi peluang kepada generasi muda untuk mendalami sejarah pemerintahan serta peranan raja dalam mencorak perpaduan nasional.

Ruang interaktif yang disediakan pula memberi peluang kepada masyarakat, khususnya kanak-kanak dan remaja, untuk menyertai pelbagai aktiviti berunsur pendidikan, patriotisme dan kesenian.

Raja dan rakyat berpisah tiada

Lebih mengesankan, MKC 2025 memperlihatkan betapa eratnya hubungan raja dan rakyat yang bukan sekadar pada peringkat protokol, malah meresap dalam kehidupan harian sebagai pelindung perpaduan dan simbol kedaulatan negeri.

Acara sebegini menzahirkan bahawa institusi diraja bukan bersifat simbolik dalam sistem demokrasi berparlimen, tetap menjadi tiang seri yang menjamin kestabilan, keharmonian dan identiti negeri berdaulat.

Sambutan luar biasa MKC 2025 menunjukkan bahawa rakyat masih mendambakan nilai-nilai tradisi, keharmonian dan penghargaan terhadap institusi yang menjadi tonggak sejarah dan jati diri mereka.

Dengan penyertaan semua kaum dan lapisan masyarakat, MKC tidak lagi sekadar acara tahunan ia kini menjadi lambang kebersamaan negeri Perlis, di bawah naungan Raja yang disayangi rakyat. – HARAKAHDAILY 26/5/2025

- Advertisement -