Melayu malu perjuangkan hak Melayu: Bimbang dilabel rasis?

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

PERJUANGAN untuk mempertahankan dan memperkasakan bangsa selagi tidak mengajak untuk menindas bangsa lain itu hakikatnya adalah sesuatu yang sangat mulia.

- Advertisement -

Secara fitrahnya semua bangsa mempunyai rasa cinta dan sayang pada bangsa sendiri dan sanggup berjuang mempertahankannya apa lagi tanah airnya.

Malangnya perjuangan orang-orang Melayu untuk mempertahankan hak bangsanya sering dijadikan bahan momokan dari pelbagai pihak sebagai perkauman dan rasis.

Sehinggakan apabila orang-orang bukan Melayu apabila memperjuangkan nasib bangsa mereka itu dilabel sebagai ‘hak asasi manusia’, tetapi apabila orang Melayu memperjuangkan hak mereka mudah sahaja dituduh rasis dan perkauman.

Sebagai contoh, Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia Dong Jiao Zong yang mempertahankan dan memperjuangkan institusi pendidikan berbahasa Cina dan tidak selaras dengan dasar pendidikan negara tidak pula dilayan sebagai rasis, malah menjadi institusi yang dimanjakan kerajaan demi sokongan politik.

Tetapi bila orang Melayu bangkit dan bercakap sedikit sahaja soal Melayu, cepat sahaja mereka dituduh sebagai rasis dan perkauman di mana tuduhan ini sebahagiannya dibuat oleh orang Melayu sendiri.

Semua ini berlaku kerana wujudnya usaha-usaha pihak tertentu yang mahu melemahkan perjuangan orang Melayu dalam menuntut hak mereka daripada dikhianati dan dirampas.

Melayu sangat sinonim dengan Islam. Lalu mereka ini menciptakan berbagai persepsi yang tidak berasas kepada realiti sebenar demi menghakis rasa cinta pada bangsa dan tanah air bagi melemahkan semangat juang dan ianya mesti dilumpuhkan bagi mempermudahkan hasrat mereka untuk menguasai Semenajung Emas (Golden Chersonese) ini.

Bumi Melayu Champa ,Temasik, Rakhine dan beberapa kerajaan Melayu lain telah hilang dari peta dunia.

Kerana itu mereka menyerang pemikiran orang Melayu agar perjuangan untuk mempertahankan hak Melayu ini nampak bodoh, jijik, tidak relevan, rasis dan tidak menghormati dan menghargai kehadiran bangsa lain supaya orang Melayu malu untuk memperjuangkan hak mereka.

Malah ramai golongan Melayu yang kononnya terpelajar dan berada dalam golongan menengah yang sudah pun teracun dengan pemikiran ini turut mengelak untuk memperjuangkan hak Melayu kerana malu akan dilabel rasis dan kolot.

Ramai yang sindir kononnya Perdana Menteri kita Melayu, menteri-menteri kita ramai Melayu, pegawai-pegawai kerajaan majoriti Melayu. Jadi apa yang Melayu terancam? Mengapa paranoid?

Kerana itu kita harus faham bahawa ancaman dan pengkhianatan kepada orang Melayu bukanlah semata-mata datang dari orang bukan Melayu, tetapi juga datang daripada penguasa-penguasa Melayu yang bersekongkol dengan golongan lain dalam memusnahkan hak Melayu.

Sebab itulah perjuangan dalam mempertahankan hak Melayu ini bukanlah satu pertembungan antara orang Melayu dengan bukan Melayu, tetapi ia adalah pertembungan antara orang-orang Melayu dengan para penceroboh dan pengkhianat sama ada dari golongan Melayu sendiri dan golongan bukan Melayu.

Malah golongan bukan Melayu yang turut menghormati perjuangan hak orang Melayu dan juga mempertahankan hak bangsa mereka dengan jalan yang benar, mereka tidak menjadi musuh kepada pejuang-pejuang hak Melayu ini.

Banyak isu yang membelenggu orang-orang Melayu seperti Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA); penyingkiran terancang orang-orang Melayu dari bandar; pencerobohan tanah; penyusutan Tanah Rizab Melayu selain isu campur tangan terhadap hak orang Melayu dan Islam. Malahan ada Kampung Baru Cina yang dibangunkan di atas Tanah Rizab Melayu pun sejak puluhan tahun tidak menjadi isu memecahkan perpaduan kaum di negara ini. Itulah tolerensi orang Melayu.

Kerana itulah NGO-NGO Melayu telah mengadakan Perhimpunan Melayu Berdaulat pada Sabtu lalu dengan harapan agar ia dapat menyedarkan orang Melayu terhadap apa yang sedang berlaku sekarang.

Sekiranya orang Melayu berasa malu untuk memperjuangkan hak Melayu kerana termakan dengan naratif golongan musuh Melayu yang sedang merampas hak orang Melayu ini maka mudahlah mereka terus menjalankan kerja jahat mereka tanpa halangan.

Itulah yang dikehendaki mereka, agar kita menari mengikut gendang yang mereka palu sehingga akhirnya membawa kita terjun ke jurang yang sangat dalam.

HAJI BAKRI JAMALUDDIN
Ahli Parlimen Tangga Batu – HARAKAHDAILY 26/5/2025

- Advertisement -